Bertugas di rumah Tuhan

03 February 2017

Kehidupan penjaga rumah ibadat di Jalan Petaling.

Persekitaran kawasan Kuala Lumpur yang dirujuk sebagai Jalan Petaling atau Chinatown merupakan kawasan yang meriah dengan penanda masyarakat majmuk yang membentuk spektrum budaya Malaysia. Selain dari pasar terbuka yang menjadi kunjungan orang ramai, di sini juga terletaknya pelbagai rumah ibadat untuk penganut agama mempraktikkan kepercayaan mereka masing-masing.

Rumah-rumah ibadat yang tersergam indah serta menjadi tumpuan bidikan kamera ini diuruskan oleh individu-individu yang berdedikasi untuk memastikan kelancaran operasi seharian institusi-institusi ini. Malaysia.my mengunjungi beberapa rumah ibadat di kawasan ini untuk berkenalan dengan individu yang bekerja di sebalik tabir untuk mendengar pandangan serta cerita mereka.

Encik Lam, Tokong Guan Di (关帝庙)
Dilahirkan dalam bangunan tokong, Encik Lam telah bekerja menguruskan tokong semenjak kecil lagi, mengikuti langkah bapanya yang juga terlibat dengan pengurusan tokong. Walaupun pernah mengendalikan beberapa tokong yang lain, Encik Lam yang berusia dalam lingkungan 60-an memberitahu waktunya berkhidmat untuk tokong Guan Di yang terletak di Jalan H.S. Lee ini adalah yang paling lama, iaitu lebih 40 dari tahun hidupnya. Selain daripada menguruskan operasi tokong, pengunjung juga sering mendapatkan pandangan beliau sebagai pedoman dalam kehidupan seharian mereka.

Encik Lam (kiri) di meja kerjanya.
“Menurut pemahaman Taoisme, agama, sebagaimana juga dengan hubungan keluarga, kedudukan sosial, kekayaan serta segala aturan dunia, adalah berasaskan kepada yuan fen (takdir). Oleh sebab yang demikian, agama berasaskan Taoisme tidak pernah cuba untuk berdakwah atau berusaha mendapatkan penganut yang baru,” kata Encik Lam, menjelaskan konsep asas agama yang dianutinya. “Tiada agama yang mengajar kejahatan, agama berfungsi untuk mengawal tingkah laku manusia, sebagai satu peringatan bahawasanya terdapat satu kuasa yang lebih besar daripada mereka sendiri. Sekurang-kurangnya, apabila penganut datang untuk sembahyang, timbul rasa rendah diri dan sewaktu berdepan dengan berhala, timbul rasa kekesalan atas perkara buruk yang pernah dilakukan (oleh si penganut)."

“Kamu tidak perlukan agen untuk melakukan ibadat,” ujar beliau. “Ibadat itu adalah percuma, dan penganut seharusnya berhati-hati dengan pihak yang mendakwa berpunya kebolehan ibadat yang lebih mujarab yang menjangkaui tahap kebiasaan. Terutamanya mereka yang meminta wang untuk menjalankan upacara." Perilaku ketika bersembahyang, menurut beliau, adalah antara individu dengan tuhan, ianya boleh dilakukan semudah menyalakan serta memasang colok setelah doa-doa dilafazkan di hadapan berhala.

Menjaga tokong bersama tujuh penjaga yang lain, Encik Lam juga menerangkan bagaimana agama yang diperturunkan semenjak tujuh ribu tahun yang lalu tidak ketinggalan dalam mengikuti paradigma pemikiran semasa. “Sebagai contoh sekarang masyarakat mengutamakan penjagaan alam sekitar, kami berpendapat itu adalah sesuatu yang baik dan harus disokong. Kami mengambil inisiatif untuk mengurangkan pencemaran dengan menyaran pengunjung supaya hanya memasang satu colok sahaja untuk setiap tabung."
Alamat: 168, Jalan Tun H.S. Lee 50000 Kuala Lumpur

C. Sethu Pathy, Sri Maha Mariamman
Encik Sethu yang merupakan setiausaha kehormat ahli lembaga pemegang amanah yang menguruskan tokong Sri Maha Mariamman di samping kuil Sri Subramaniar Swami di Batu Caves dan Sri Ganesar yang bertempat di Jalan Pudu Lama. Beliau telah menimba pengalaman selama 10 tahun sebagai ahli jawatankuasa sebelum dilantik jawatan yang disandangnya kini pada tahun 2015. Tanggungjawab jawatan yang dipikul beliau secara sukarela tersebut memerlukan beliau untuk berulang alik di antara ketiga-tiga kuil untuk setiap minggu.

Selain daripada berperanan sebagai tempat ibadah, Encik Sethu berpendapat bahawa kuil juga memainkan peranan sebagai rujukan dalam pelbagai peringkat. “Kuil Sri Maha Mariamman merupakan antara kuil yang terawal yang mengemukakan gopuram,” merujuk kepada pintu gerbang berbentuk piramid yang sudah menjadi ‘wajah’ kebanyakan kuil pada masa kini. "Kuil-kuil kami juga merupakan yang terawal menggunakan bahasa Tamil menggantikan bahasa Sanskrit yang digunakan sebelumnya, sebelum diadaptasi oleh kuil-kuil yang lain di serata Malaysia. Program pendidikan yang dianjurkan oleh pihak kuil dalam pengajaran ilmu agama dan yoga untuk memberikan gambaran yang lebih nyata terhadap tatacara agama Hindu pada peringkat individu penganut."


“Agama Hindu adalah agama yang terbuka tanpa banyak larangan. Kita tidak mengongkong anak-anak kita dengan pemikiran kolot yang tidak mengikut peredaran zaman, selagi perkara serta ajaran asas agama dikekalkan”. Apabila ditanya mengenai insiden ugutan kumpulan yang mahu mengawal pemakaian pengunjung sewaktu perayaan Thaipusam, Encik Sethu berkata “Kita tidak boleh menuntut bahawasanya tuhan adalah milik kita (secara individu atau kelompok tetentu), jika tidak, hanya wujud satu agama dan satu komuniti sahaja di dalam dunia”. “Tujuan muktamad setiap penganut Hindu hanya boleh dicapai melalui saluran spiritual, untuk mencapai kesedaran setelah manusia lupa akan akar umbi mereka. ‘Siapakah saya?’ atau ‘Apa tujuan kewujudan saya?’ adalah antara soalan yang harus dirungkai oleh setiap penganut bagi kesedaran diri mereka sendiri, untuk mencapai kesedaran kendiri yang kami sebut sebagai moksha”. Permintaan serta hasrat selain daripada itu, menurut beliau, hanyalah diwujudkan oleh penganut sendiri berdasarkan kehendak duniawi mereka.
Alamat: 163, Jalan Tun H.S. Lee 50000 Kuala Lumpur

Puan Chou, Tokong Kuan Yin (威鎮宮觀音寺)
Puan Chou mengembara setiap hari dari kediamannya di Rawang untuk membuka tokong Kuan Yin yang terletak bersebelahan dengan stesen monorail Maharajalela. Beliau sudah berkhidmat di tokong tersebut untuk 11 tahun, setelah mengetahui terdapatnya kekosongan jawatan sewaktu lawatan awalnya ke tokong tersebut.

Puan Chou berpendapat bahawa tunjang kepada ajaran agama Buddha adalah kesederhanaan, sebagaimana saranan sami-sami yang berkunjung untuk berkongsi ilmu mereka. “Kadangkala ada penganut yang terlalu taksub kepada amalan ibadat yang banyak hiruk pikuknya, seolah-olah itu amalan yang lebih baik. Saya sering memberitahu apabila ditanya oleh pengunjung supaya menggunakan naluri mereka untuk menilai sama ada perlu untuk meneruskan sesetengah amalan lama yang mungkin keterlaluan. Memadailah hanya dengan membakar colok dan menyatakan doa serta hasrat. Kerana pada hujung pangkalnya, tidak berguna jika lengkap amalan sembahyang sekalipun jika amalan serta pemikiran itu tidak baik,” beliau menambah.

Berkhidmat untuk tokong yang berusia 119 tahun tersebut, beliau telah menyaksikan kepelbagaian pengunjung yang datang untuk berdoa, “Kebanyakannya apabila mencecah pertengahan usia, pada umur 30 atau 40-an baru mula untuk mempelajari dan mengambil peduli untuk melakukan kunjungan tetap, tetapi itu tidak bermakna generasi muda sekarang tidak berminat akan perihal agama. Walaupun terdapat pengunjung tetap yang sering saya lihat semenjak bermula bekerja di sini, terdapat banyak juga wajah baru yang bersilih ganti untuk datang melakukan ibadah.”
Alamat: 10, Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur

Harjit Singh, Gurdwara Sahib Polis
Gurdwara Sahib Polis yang terletak di Jalan Balai Polis dikelola oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada anggota polis serta keluarga terdekat mereka. Salah seorang daripada ahli jawatankuasa tersebut adalah Encik Harjit Singh, setiausaha badan pengurusan kuil yang telah memikul tanggungjawab tersebut semenjak 26 tahun yang lalu. Anak kepada generasi polis yang pertama di Malaya, beliau dilahirkan di dalam bilik bangunan gurdwara tersebut dan bersama keluarganya mempunyai ikatan yang kuat dengan rumah ibadah yang beroperasi semenjak tahun 1898 ini.

“Dekad 1980-an merupakan ‘generasi sesat’ sewaktu kebanyakan orang muda tidak mendekati agama, tetapi keadaan telah berubah dengan generasi muda kini yang mula memenuhi kembali gurdwara,” kata Encik Harjit. “Pergerakan orang muda yang dipanggil Malaysian Sikh Movement telah membantu dalam menarik minat generasi baru melalui aktiviti bengkel serta kem perdana yang diadakan setiap tahun pada hujung minggu perayaan Natal. Kem yang terbaru melibatkan hampir 2,000 pemuda pemudi Sikh.” Beliau juga memberitahu selain daripada pergerakan tersebut kesedaran baru serta keadaan ekonomi yang lebih stabil telah membolehkan ramai ibubapa untuk memupuk kesedaran beragama di kalangan anak-anak mereka.

Apabila ditanya apakah yang didoakan oleh mereka yang hadir ke gurdwara untuk beribadat, beliau menjawab “Jika mengikutkan kitab suci, kita hanya hidup mengikut kehendak tuhan. Doa kita hanya berupa satu pengharapan supaya apa yang telah ditentukan untuk kita itu sesuatu yang menyenangkan”. Tetapi, dengan nada berjenaka juga beliau menambah, “...tetapi sudah tentunya ada yang datang berusaha menyelitkan permintaan peribadi mereka, mungkin supaya memenangi loteri dan sebagainya."

Kesemua rumah ibadat ini masih dijaga rapi walaupun dilimpahi pengunjung dan tugas para penjaga lebih sukar hari ini sekiranya dibandingkan generasi mereka yang sebelumnya. Namun, dedikasi yang ditunjukkan mereka seharusnya menjadi contoh buat kita dan mungkin timbul kesedaran dalam jiwa kita untuk sedikit sebanyak menolong menjaga keterampilan dan kelestarian rumah - rumah agama ini sebagai penduduk negara Malaysia yang ternyata unik di mata dunia.
Alamat: 6, Jalan Balai Polis, 50000 Kuala Lumpur

Teks oleh Yuen Kok Leong
Foto oleh Choi Chin Loong & Yuen Kok Leong

This article is related to CULTURE OFF THE BEAT

culture

Guide to Kuala Muda

TUE, 11 JUL 2017

Kuala Muda has seen a royal battle between brothers, a natural disaster, and a propensity to keep calm in the face of it all. Get und...

culture

Raya Away From Home

MON, 03 JUL 2017

We usually associate Hari Raya with going home, but what about those who can’t? We speak to three expats who have spent their l...

culture

Borneo Calling

THU, 01 JUN 2017

Kaamatan and Gawai are each celebrated throughout the months of May and June in Sabah and Sarawak, respectively. At the heart of both...

culture

A Tale of Two Towns

FRI, 26 MAY 2017

From trading port to commercial centre, today’s Pekan Melayu Pekan Cina in Alor Setar, Kedah looks ready for a revamp. What wil...