Go Fast Jangan Gostan

04 November 2016

Memandu menuruni cerun-cerun bukit seperti di Janda Baik, Pahang agak menyeramkan buat sesetengah pemandu, namun buat mereka yang tegar dalam sukan longboard, jalan merbahaya begitulah yang dicari. 

Sukan longboard merupakan sejenis varian sukan papan selaju yang biasa - papannya (atau terma lainnya “dek”) lebih panjang dan tirus dan trak (pasangan logam yang menyambungkan papan dan roda) lebih berat untuk kestabilan semasa meluncur. Longboard dibahagikan kepada pelbagai disiplin seperti menari ketika meluncur (dancing), meluncur turun bukit dengan kelajuan tinggi (downhill) atau hanya sebagai kenderaan untuk jarak dekat (cruising). 

“Dalam banyak-banyak versi sukan longboard, pasti ada satu yang menarik minat anda, kami juga bermula dengan cara begitu,” ulas Shen, salah seorang pemilik Cherry Bomb Board Co. Bagi Shen dan dua rakannya, Naqib dan Omar - mereka mula menubuhkan syarikat papan selaju mereka sendiri selepas menyedari kos untuk memiliki set lengkap longboard di Malaysia agak tinggi. “Ada jenama yang papannya sahaja mencecah harga RM700, jadi kami memberikan lebih akses kepada peminat-peminat sukan ini. Kami memberi kemudahan untuk memiliki dek dengan harga yang lebih murah, jadi lebih ramai orang dapat mendekati sukan longboard ini,” tambah Omar. 

Krew luncur Cherry Bomb amat santai dalam pendekatan sukan ini, pada malam Rabu yang basah mereka sedang berseronok memacu papan-papan mereka di sebuah tempat letak kereta. 

Namun, pada hujung minggu mereka berkumpul di lokasi-lokasi yang lebih menggerunkan; kerana buat mereka yang menggilakan aliran adrenalin dalam badan mereka, perkataan “bahaya” mungkin diterjemahkan kepada “bagus” di dalam perspektif mereka. 

Bila ditanya mengenai risiko bermain longboard, Naqib meyakinkan yang bukan semua versi papan luncur lunjung ini melibatkan kecederaan yang tinggi. Ramai gadis-gadis di Korea dan China menceburi “longboard dancing” sejak kebelakangan ini, dan tren ini sudah diikuti oleh beberapa remaja Malaysia. 

Cherry Bomb Board Company menghasilkan papan dari Taiwanese Maple dan disebabkan faktor harganya, stok mereka sering habis. Shen sedar selepas implementasi “Car Free Sunday” pada setiap Ahad pertama dan ketiga di ibu kota, ianya sedikit sebanyak menolong kesedaran orang umum terhadap sukan ini. 

Di Bandar Baru Bangi pula, sebuah lot kedai kecil yang diubah menjadi tempat pertukangan kayu kreatif, saudara Qkri Ishmael atau nama gelaran beliau, Ikki menayangkan hasil kerja tangan beliau dengan bangganya. 

“Saya lebih senang dengan skater life; hidup skate, kerja pun skate,” jelas Ikki tentang kenapa dia memilih membuat papan luncur sebagai kerjayanya. Ikki terinspirasi dari filem Lords of Dogtown, sebuah filem autobiografi tentang bermulanya budaya papan luncur di Venice Beach, California sekitar awal 70’an. 

Beroperasi dari Thinker’s Cave (studio kreatif yang dikongsi bersama Geraham Studios dan Doodict), Ikki menyatakan yang produk yang dihasilkannya lebih kepada seni yang boleh dikumpul berbanding papan luncur yang digunakan di jalanan. Beliau amat tegas ketika menjelaskan sumber kayu yang diperolehinya - mereka tidak diambil dari hasil pembalakan haram dan 7% daripada hasil jualan Qkri Ishmael Bespoke Cruisers didermakan kepada badan-badan yang mengekalkan dan melestarikan hutan-hutan di Malaysia. 

Melabelkan dirinya sebagai seorang skater, usahawan dan aktivis alam sekitar, Ikki menekankan yang bisnesnya tidak mementingkan kuantiti, tetapi papan yang dihasilkan haruslah berkualiti. Dari proses pemilihan kayu ke menempa rekaan beliau menggunakan teknologi laser 3D, Ikki amat teliti dan tidak akan berhenti selagi pelanggannya berpuas hati dengan apa yang dihasilkannya. 

“Kalau saya fokus kepada pembuatan papan secara massa, banyak lah hutan di Malaysia tak ada pokok! Pokok perlukan masa untuk membesar, lebih-lebih lagi kalau hasilkan papan yang banyak, isu pengedaran dan jualan harus diketengahkan. Jadi saya boleh fokus kepada seni penghasilan papan sahaja buat masa sekarang,” Ikki meluahkan sedikit sebanyak falsafah hidupnya. 

Walaupun lebih sesuai dipamerkan di ruang tamu atau rak-rak kafe yang hip, papan luncur Qkri Ishmael juga boleh dinaiki buat sukan downhill. Kelebihan papannya adalah ianya lebih laju kerana faktor keberatan kayu yang digunakan, namum hanya mereka yang “hati kering” sahaja berani berbuat demikian sebagai contoh, peluncur syarikatnya sendiri, Kane yang berasal dari Kajang. 

Olimpik 2020 di Tokyo merupakan satu titik besar kepada sukan-sukan ekstrem di mana pelbagai acara baru seperti surfing dan skateboarding akan dipertandingkan. Bertanya dalam kaitan hal ini, pemilik-pemilik Cherry Bomb Board Company  yakin dengan peluang atlet Malaysia membawa pulang pingat emas sekiranya sukan downhill diadakan di tahap antarabangsa. 

Malaysia sudahpun melahirkan jaguh dunia dalam sukan street luge, sukan papan luncur yang berkelajuan amat tinggi dan amat cemas (anda harus mengemudikan papan dari posisi terbaring). Namun, Abdil Mahdzan membuktikan bahawa sukan street luge ini bukan bergantung kepada saiz dan berat badan peluncur, tetapi kecekapan, pengalaman dan keberanian. 

Malah, anggota perempuan krew Cherry Bomb, Vina Marwan baru sahaja pulang dengan piala juara dari Cangar Longboard Festival 2016, Bali, Indonesia. Vina kini memberi tekanan dan juga inspirasi kepada riders longboard wanita seluruh dunia di samping mendominasikan tempat 3 teratas dunia.

Sifat keberanian sukan longboard ini bukan sahaja boleh dilihat di atas papan, tetapi boleh diteliti lagi dalam keberanian mengambil risiko dalam hidup. Ikki sebagai contohnya telah meninggalkan industri pembuatan perabut dan sanggup berkeringat membentuk potongan-potongan kayu menjadi sebuah hasil seni yang unik. “Aku tak letakkan diri aku sebagai persaingan kepada syarikat seperti Cherry Bomb Board Company kerana mereka menghasilkan produk lebih khusus kepada sukan longboard itu sendiri. Bagi aku, papan-papan aku lebih kepada menemani scene longboard di Malaysia.” Jelas, sifat komuniti longboard di Malaysia amat ramah dan saling menyokong sesama sendiri. 

“Kami tak kisah sekiranya papan kami tidak dibeli, kerana kesedaran rakyat Malaysia terhadap sukan longboard ini lebih penting. Jom lah sertai kami di Ahad ke-3 setiap bulan di Taman Tasik Perdana. Kami ada sesi downhill (yang tidak begitu menggerunkan) dan kami gembira sekiranya ada orang baru menunjuk minat dalam sukan ini - malah kami akan memberi sedikit tunjuk ajar tentang asas-asasnya,” jemput anak-anak muda dari Cherry Bomb Board Company dengan ikhlasnya. 

Walaupun jalan-jalan di cerun bukit tidak diturap dengan sempurna, tetapi ianya tidak menghalang dari “penagih adrenalin” seperti pemain longboard untuk mengadakan acara. Malah, mereka sering menyertai kolektif berbasikal Critical Mass berkayuh di sekitar kotaraya untuk mempromosikan basikal dan papan selaju sebagai kenderaan alternatif. Usaha sebegini harus diberi perhatian oleh pihak tertentu dalam mengurangkan pelepasan karbon monosikda - ianya bukan sahaja sejenis sukan yang menyihatkan badan tetapi pada masa yang sama satu kaedah kenderaan yang memanfaatkan semua pihak. 

Lawati laman Facebook Cherry Bomb Board Co. dan Qkri Ishmael Bespoke Cruisers sekiranya sukan longboard mencuit minat anda. 


Oleh Che Semail Che Mad
Foto tambahan ihsan Cherry Bomb Board Co.

culture

An Architectural Wonder

TUE, 21 NOV 2017

What started as a modest shrine for the rubber estate and road workers of Bukit Rotan can now lay claim to being one of Southeast Asi...

culture

Mooncake Magic

WED, 04 OCT 2017

As Malaysians prepare to celebrate Mid-Autumn Festival this year, mooncakes are a common sight. We visit a traditional bakery in Kepo...

culture

A Longhouse Engagement

FRI, 15 SEP 2017

Iban weddings are expansive and elaborate in all forms – from their customs right down to their costumes. While most indige...