Antara Ubat dan Padi: Adat Bidayuh Ditelan Zaman

01 November 2017

Adat lama merupakan cerminan kosmologi masyarakat lampau yang masih menjadi asas kepercayaan generasi emas di desa pertanian. Ikuti kisah Samak Kalak yang menceritakan perkaitan antara perubatan, pertanian serta ekologi manusia dengan alam sekitarnya.

“Ini saya punya batu, macam komputer,” kata Samak Kalak, sambil mengeluarkan batu putih bujur yang terkandung di dalam sebuah balang kaca berisi air. “Simpan sini dulu [atas kepala], saya bawa dia turun [melalui leher dan tangan], kalau ada akar kayu ara dalam badan dia, kalau buah pinggang dia tidak bagus, kalau ada barang masuk badan dia, dia melekat, saya buang itu, sudah habis,” katanya menjelaskan fungsi alatnya itu dalam penelitian penyakit.

Kami sedang duduk sambil dikelilingi objek perubatan dukun tradisional Bidayuh tersebut di dalam rumah kebun kepunyaannya yang terletak di pinggir jalan menuju ke Kampung Gumbang. Di antara kami ada beberapa batu pelbagai rupa, sebentuk gigi bertaring tujuh, beberapa butir kemeyan, serta beberapa botol kaca kecil yang berisi cecair. Beliau menerangkan fungsi peralatannya satu persatu setelah mengenakan kain di kepala serta menyarung kalung di lehernya.

Samak Kalak mula dikurniakan kebolehan untuk mengubati penyakit spiritual pada zaman mudanya sewaktu bekerja kontrak di daerah Lawas. “Pak Dukun besar sana sudah meninggal, lu ganti dia, dia cakap saya,” beliau menjelaskan bagaimana tugas beliau sebagai perawat diturunkan kepadanya oleh sekujur lembaga yang ditemuinya. Setelah menjamah hidangan makanan dan minuman yang disediakan oleh lembaga tersebut, beliau telah dikurniakan lidah serta tangan yang ‘tajam’.

Bermula dengan mengubati cucunya sendiri, khidmat beliau semakin diketahui orang ramai melalui buah mulut oleh mereka yang mengenalinya terutamanya melalui anak-anaknya sendiri yang berkahwin dengan warga dari semenanjung Malaysia dan Indonesia. Semenjak daripada itu, beliau sering merantau ke daerah luar untuk mengubati pesakitnya, kadangkala untuk tempoh yang memakan masa berbulan.

“Ini batu teropong saya. Kalau ada orang curi, ada orang dalam [batu] ini. [Batu] ini pandai tahu,” Samak Kalak menunjukkan batu miliknya yang berbentuk kristal. “Saya ambil lilin satu batang, saya tengok pakai ini. Kalau lu punya barang hilang, lu lekas-lekas datang sini bagitahu saya, saya tengok pakai ini. Kalau lambat, tak dapat,” katanya memberitahu kebolehannya dalam menjejaki barang kepunyaan selain daripada perubatan alternatif. Beliau memberitahu bawa batu serbaguna beliau tersebut  juga mampu untuk melihat benda asing di dalam pesakitnya, “Kalau kena barang orang dalam lu punya badan, batu ka, siput ka, kena tembak ka, sumpit ka, dia pandai tengok dalam.”

Sebagaimana penghuni kampung yang lain, Samak Kalak bertani untuk kelangsungan hidup keluarganya. Rumah kebunnya sedang dipenuhi beberapa guni berisi padi bersekam yang baru sahaja dituai. “Masih belum keringkan dia, nanti baru mesin dia di kampung atau di [Kampung] Padang Pan sana,” kata beliau merujuk kepada kemudahan memesin padi di sekitarnya. Beras yang diperoleh akan dibahagikan sesama beliau serta anak-anaknya yang berdekatan dan terhad untuk pemakanan keluarganya sahaja. Beliau juga mempunyai beberapa belas pohon lada yang ditanam di samping padinya untuk ditukarkan kepada wang.

Samak Kalak berpengalaman dalam mengubati pelbagai jenis penyakit pada takat kesukaran yang berbeza. Daripada penyakit fizikal biasa sehinggalah penyakit yang tidak dapat diubati oleh doktor-doktor perubatan di hospital atau klinik, beliau mempunyai cara tersendiri untuk menyembuhkan pesakitnya. Penyakit ringan seperti keracunan, penyakit kulit, sawan, busung, masalah regangan urat dan otot, masalah pencernaan, penyakit kelamin dan sebagainya seringkali dapat ditangani dengan mudah dengan hanya meminum air rendaman atau campuran cecair kepunyaannya.

Penyakit yang lebih serius kebiasaannya memerlukan bantuan daripada kemeng kriuh, roh-roh terhormat (venerated ancestors) tempatan beliau di kawasan Gumbang, yang kadangkala dirujuk secara selang-seli dengan panggilan nenek moyang. “Kalau panggil dia mesti pakai piring [penawaran], kasi sirih, tembakau, kapur, rokok, lilin, gaharu, tuak tebu… Macam-macam lagi la,” jelas beliau.

Samak Kalak melihat peranannya sendiri sebagai pemudahcara atau pengantara untuk membantu pengubatan dan bukan sebagai seorang yang mempunyai kuasa istimewa. Roh nenek moyang yang diseru juga tidak mempunyai kekuasaan yang mutlak, “Kalau saya punya roh kemeng itu, dia goyang kepala, tidak dapat ubat, [pesakit] mungkin meninggal.” Beliau menambah dalam sesetengah keadaan hasil santauan orang, kemengnya “tak tahan lawan pengaruh bomoh punya,” sambil menjelaskan perbezaan kekuatan bomoh daripada pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada masyarakat kampungnya, Samak Kalak tidak mempunyai kedudukan istimewa yang membezakan beliau dengan penghuni lain. Tetapi jika diperhati dengan teliti, beliau disegani oleh saudara sekampungnya, walaupun beliau masih mengamalkan adat kepercayaan lama di kalangan majoriti yang menganuti agama Kristian. Tambahannya lagi, peranannya sewaktu perayaan Gawai padi di kampungnya serta penyertaannya dalam sambutan Gawai bersama saudara-saudaranya di daerah Sebujit, Indonesia juga telah membuatkan pengubat bergelar datuk ini disanjung ramai.

Adat lama yang dianuti beliau mempunyai ikatan tradisi dengan peranannya sebagai petani, iaitu menyeru kemeng kriuh untuk memberikan hasil tanaman yang baik untuk musim yang mendatang. “Kalau gawai huma, gawai padi ka, mesti panggil itu roh nenek moyang yang sudah meninggal tu, yang kaya-kaya dolok punya, baru dia ada datang,” ujar beliau. ”Kalau roh nenek moyang saya datang, ada dapat padi, kalau dia tidak datang, tidak dapat padi banyak,” tambah beliau lagi.

Sudah menjadi pengetahuan umum di Sarawak bahawa adat serta kepercayaan lama yang menjadi asas kepada perayaan Gawai telah luntur dimakan zaman. Selain dari ketiadaan penganutnya daripada generasi yang muda, faktor persekitaran seperti pembalakan juga mempengaruhi keberadaan adat lama ini, “Dolok punya hutan tua-tua itu, kalau tidak ada orang ambil balak itu, memang ada bomoh yang diam. Sekarang tidak ada lagi. Semua itu gunung yang kuat-kuat sudah damai sudah, ada juga dia [bomoh] masuk itu Kristian. Tidak kacau orang.”

Keberadaan roh kemeng kriuh, amalan perubatan tradisional serta upacara perayaan Gawai hanya boleh diteruskan selagi wujudnya pengamal seperti Samak Kalak. Pengurangan penganut adat lama lantaran kematian generasi beliau membayangkan takdir kehilangan adat ‘asli’ yang menjangkaui pertunjukan budaya dalam masa yang terdekat. “Dulu kemeng [Bukit] Jagoi dengan Gumbang kuat musuh, tapi kemeng sini kuat. Tapi semua [penduduk kampung] sudah masuk Kristian, tidak ada lagi kemeng dia. Sini orang punya datuk nenek sudah meninggal, tidak orang pakai lagi”.

Oleh Yuen Kok Leong
Foto ihsan Jee Foong

This article is related to CULTURE OFF THE BEAT SPIRITUAL HEALER BIDAYUH