Pepatah Digital Warisan Bahasa

02 September 2016

Anak di rumah ditinggalkan, anak kera di hutan pula disusukan - tingginya adat bahasa Melayu namun ramai dari kita rasa cukup aneh dalam penggunaan bahasa ibunda kita hari ini. Hyrul Anuar menerokai ekpresi diri melalui tradisi bahasa.

Sejak zaman persekolahan kita telah diajar tentang peribahasa Melayu, dan bagi mereka yang beruntung, pepatah pepatah yang mungkin sudah jarang digunakan diajar oleh saudara mara mereka yang lebih berumur. Setiap budaya mempunyai peribahasa atau juga dikenali sebagai proverb dalam Bahasa Inggeris ; yang sering menggunakan metafora sebagai kata pesanan dari mereka yang berpengalaman. Kata-kata simbolik ini juga mencerminkan ketinggian budaya dan sahsiah bahasa sesuatu kaum itu. Kini hari dengan ledakan kandungan di Internet, adakah makin terhapus kepentingan pepatah dalam hidup kita? Adakah lebih relevan sekiranya kita lawati blog - blog yang lebih bermotivasi seperti thoughtcatalog.com ; atau pelbagai meme yang sedia lebih sesuai untuk meluahkan perasaan kita?

Buat Hyrul Anuar, tiada masa yang lebih sesuai dari sekarang untuk menyampaikan pepatah - pepatah Melayu lama dalam format kontemporari - hasil kerja digitalnya yang menampilkan elemen-elemen batik nusantara, wayang kulit dan warna-warna yang menyerlah membuatkan hasil kerjanya mendapat perhatian penggemar seni dari seluruh dunia. Anak kelahiran Kuala Selangor ini kini bertugas sebagai Pengarah Seni di sebuah firma agensi pengiklanan tempatan telah memberi nafas baru kepada peribahasa Melayu - dan apa yang lebih menarik - kerja yang dihasilkan diinspirasikan oleh pengalaman hidupnya. Satu sudut pandangan peribadi yang berlapis-lapis ; seperti pengunaan peribahasa dalam sesuatu keadaan.

“Ambil contoh pepatah “Bagai Meludah Ke Langit”, tercetus dari sebuah kes masa aku di universiti; aku dapat tahu yang ada seorang perempuan ni suka mengata tentang aku - jadi aku merasa tak puas hati lantas aku pula yang memburukkan nama dia di kampus. Tetapi, setelah aku meneliti kembali hal itu secara keseluruhan, ternyata - pepatah itu tepat - kata-kata buruk yang diucapkan pasti akan memberi padah pada diri sendiri. Bagi hasil kerja yang berjudul “Hasad Dengki” pula, Hyrul mendapat inspirasi  setelah satu insiden di mana bapa saudaranya sendiri terkena santau buatan orang. Dia menyaksikan betapa seksanya santau itu dan  betapa busuknya hati seseorang hingga tergamak menyimpang dan menggunakan ilmu sihir sebagai satu cara pembalasan dendam.

Bertanya tentang mengapa dia memilih seni digital menjadi arus ekpresi seni pengalaman hidupnya,dijawabnya dia lebih gemar menghasilkan sesuatu berbanding hanya menulis benda-benda yang tak bermanfaat di sosial media. Kedua - dua luahan perasaan ini menggunakan alat yang sama iaitu komputer, tetapi lebih bagus mencipta dari mengata. Ternyata, perkara-perkara dalam hidup kita pasti memberi kita tekanan perasaan jikalau tidak dilepaskan - dalam hal Hairul ; gabungan seni digital diinspirasikan oleh corak tekstil nusantara dan pepatah Melayu yang sering membawa erti yang padan dengan saat tika yang dialaminya merupakan ekpresi ideal buat anak kampung ini.

Namun, jangan kita sesekali terkilan bila dipanggil anak kampung; malah patut dibanggakan. Usaha kreatif dan pemikiran positif beliau telah membawa hasil kerjanya dipamerkan di galeri-galeri seni Eropah ; hebat juga untuk anak kampung. 

“Ketika aku dapat peluang bertugas di Fabrica, Itali selama setahun, kerja aku lebih menjurus ke arah perhubungan visual - bukan sekadar untuk pengiklanan. Malah di sana terma “advertising” dipandang jelek kerana mungkin di sana pengiklanan sudah tepu untuk diterima masyarakat. Apa yang aku gemar tentang industri iklan Malaysia ialah hasil kerja arwah Yasmin Ahmad (Hyrul mula bertugas di Leo Burnett Kuala Lumpur diinspirasikan oleh webisode yang diterbitkan oleh arwah Yasmin), tetapi aku sendiri saksikan - di sana semua orang hendak mengikut jejak langkahnya. Apa yang kurang dalam iklan-iklan sekarang ialah impak sosial. Dan aku sekarang sedar yang membuat impak sosial merupakan sebuah tanggungjawab. Di agensi pengiklanan, kita sering digalakkan untuk berfikir “outside the box” tetapi kita belum menyelesaikan masalah “in the box” yang sedia ada" ujarnya tentang perbezaan komunikasi visual dan iklan TV. 

Walaupun hujan emas di negeri orang; Hyrul hanya mengambil nilai-nilai yang baik dan bukan mengagungkan budaya Barat seperti kebanyakan orang seni yang “telah melihat dunia”. Jelasnya industri kreatif di Eropah khususnya kempen-kempen berimpak sosial hanya mengutarakan isu - isu tetapi tidak pernah menyediakan  cara penyelesaian. Di Malaysia, kempen-kempen sebegini lebih menyeluruh di mana masyarakat akan memberi perhatian  tentang sesuatu isu dan apa yang mereka boleh lakukan sebagai inisiatif sejagat. Bila bertanya pula tentang tahap penghargaan seni; ternyata kita lebih jauh ke belakang. 

“Bila aku hasilkan kerja kerja digital sebegini, penggemar atau pemilik galeri seni di Malaysia tak nampak nilainya - maksud aku , mereka sering memberi tumpuan kepada medium yang sudah popular seperti oil painting, ukiran ataupun fotografi. Bagi seniman yang berlandaskan medium digital, susah untuk kami mendapat penghargaan seperti itu kerana mungkin bagi mereka hasil seni menggunakan komputer dikira “tak aci”, terlalu mudah prosesnya. Berbeza di galeri-galeri seni Eropah, medium tidak memberi nilai kepada sesuatu hasil kerja. Jikalau penyampaian mesej dan hasil kerja kamu bagus, pasti akan diberi nilai yang setimpal.”, jawab Hyrul dengan penuh perasaan bila bertanya mengenai perbezaan yang ketara dari perspektifnya sepanjang bertugas sebagai Pengarah Kreatif di Fabrica. 

 

Beralih kepada soalan siapa yang bertanggungjawab memupuk minatnya dalam menghasilkan kerja-kerja digital sebegini, Hairul balas dengan nada tenang dan tegas, “Bekas Pengarah Kreatif Eksekutif di Leo Burnett KL, Eric Cruz. Walaupun Eric seorang yang telah bekerja dengan pelbagai jenama besar seluruh dunia dan bertanggungjawab untuk pelbagai kempen yang berjaya di tahap antarabangsa, dia nampak bakat yang aku ada. Aku pun tak tahu apa bakat yang aku ada! Sesetengah orang memang tahu apa yang patut dilakukan dengan bakat mereka; berbeza pula dengan cara minda aku berfungsi. Aku ada bakat tetapi aku harus ada mereka yang lebih tahu dan berpengalaman untuk memberi petunjuk dan panduan. Aku sangat berterima kasih kepada Eric yang telah mencungkil potensi aku dalam menghasilkan kerja-kerja aku tersendiri, dan industri pengiklanan di Malaysia perlukan lebih orang seperti Eric untuk memimpin mereka yang berjiwa kreatif. Orang - orang yang di sekeliling kita pasti sukar hendak nampak usaha kita dalam menengahkan sesuatu yang baru, lebih-lebih bila terlibat dengan dunia seni. Mungkin kerana sudah biasa dan jemu dengan keadaan, jadi perspektif orang ketiga atau di luar lingkungan budaya kita amat perlu.” 

 

                                               

 

Pepatah - pepatah digital ini akan diabadikan agar tidak dimakan zaman seperti yang dirisaukan selama ini; Hyrul bercadang menerbitkan hasil kerjanya dalam bentuk buku kanak-kanak. Satu usaha mengekalkan warisan bahasa yang patut dipuji, disokong dan digalakkan. Zaman beralih, musim bertukar tetapi jangan sesekali kita lupa - di mana bumi dipijak, di situ lah langit dijunjung. Dan apa yang lebih elok dari menjunjung bahasa kita sendiri.

 

Oleh Che Semail Che Mad 

This article is related to CULTURE OFF THE BEAT

culture

Chinese Calligraphy in Malaysia

MON, 02 JUL 2018

Nai Chuang Hak has devoted over 50 years in pursuing his passion for calligraphy, a technically demanding practice of handwriting tha...

culture

Exploring Pengkalan Hulu

WED, 20 JUN 2018

Far in the north corner of Perak lies Pengkalan Hulu, a place where older Chinese, Malay and Indian folk may still turn around and sp...

culture

Wats in Tumpat

MON, 26 FEB 2018

We take a look at the Buddhist temples that dot the town of Tumpat, Kelantan on the Thailand-Malaysia border. Situated on the nor...