Perjuangan Seni Warisan Anak Sarawak

25 November 2016

Takkan hilang dimamah zaman, tatu Sarawak atau pantang kini digiatkan oleh anak muda Iban, Baxx Jordan serta teman-temannya.

Pantang Iban
Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Sarawak pastinya akan terkejut dengan betapa ramainya warga tempatan yang memperagakan tatu pada badan mereka. Tatu, atau disebut sebagai pantang dalam bahasa Iban, merupakan tradisi seni lukisan tubuh badan di kalangan etnik pribumi terutamanya dari suku Iban, etnik majoriti di Sarawak. “Orang tua tidak menggalakkan kami tahu pasal pantang sewaktu aku kecil. Percaya atau tidak, pendedahan terawal aku terhadap tatu adalah melalui Young and Dangerous dan Miami Ink”, ujar Baxx Jordan merujuk kepada filem gangster Hong Kong dan rancangan televisyen yang pernah ditayangkan di dalam kaca saluran arus perdana. Baxx merupakan seniman tatu serta rakan kongsi Skrang Tattoo Studio yang terletak di Jalan Carpenter, Kuching.


Gambar: Baxx di depan kedai

Walaupun mempunyai keupayaan untuk membuat pelbagai genre tatu termasuk oriental, old skool, dotwork, watercolour dan sebagainya, minat Baxx yang paling utama adalah terhadap pantang Iban. Baxx menyatakan peranan pelopor seperti Ernesto Kalum yang telah membuka mata masyarakat tempatan terhadap pantang Iban walaupun sebelumnya tokoh tatu seperti Leo Zulueta, bapa tatu tribal moden sudah membawa corak bungai terung ke persada dunia. Seperti juga Ernesto, Baxx mempelajari mengenai tatu melalui pelbagai sumber yang boleh diketemukan, daripada pembacaan buku sehinggalah melalui warga tua yang berada rumah panjang di kawasan pendalaman. 


Gambar: Bungai Terung

Sedikit sejarah Pantang Iban
Tatu Iban dikatakan berasal daripada adaptasi corak tatu Orang Ulu yang wujud sebelum kemunculannya. Tatu, atau pantang dalam bahasa Iban secara umumnya hanyalah berupa perhiasan tubuh serta peragaan keberanian dan kemahiran seseorang. Kebanyakan motif rekaan pantang Iban adalah diinspirasikan daripada apa yang mereka perhatikan di persekitaran serta tempat yang telah dikunjungi mereka.

Gambar: Tiga lelaki Penan,gambar ikonik menunjukkan rekaan dari suku Penan yang mempengaruhi rekaan pantang Iban Perhatikan bentuk tatu mereka yang lebih 'halus' berbanding tatu Iban.

Apabila generasi yang lalu mula bersekolah di sekolah mubaligh, timbul kebimbangan untuk mendapatkan pekerjaan selepas persekolahan jika mereka mendapatkan tatu, terutamanya jawatan kerajaan yang mula diwujudkan selepas kemerdekaan Sarawak. Pada waktu tersebut populariti tatu merundum terutamanya di kalangan mereka yang menetap di kawasan bandar.

Walaupun pernah mengalami zaman kemunduran pada sekitar zaman 60’ -70’ an di Sarawak, tatu kini sekali lagi timbul di dalam arus perdana setelah berlegaran di ‘bawah tanah’ buat sekelian lama. Baxx berpendapat bahawa media massa banyak memainkan peranan dalam mempopularkan semula seni tatu selain dari konvensyen tatu yang semakin banyak diadakan di bandar-bandar seperti Kuching, Bintulu dan Miri, tak lupa di kota lain seperti di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. “Cuma sekitar lima ke enam tahun kebelakangan ini, pantang Iban benar-benar menjadi popular di kalangan orang tempatan,” kata Baxx.

Jenis-jenis pantang Iban
Bukan sahaja buat anak tempatan seperti Baxx, pantang Iban turut diminati oleh warga luar seperti Ozzy, seniman tatu yang berasal daripada Australia yang sedang mempelajari seni tersebut dari Ernesto serta warga tua di beberapa kawasan pendalaman di Sarawak seperti di daerah Song. “Pantang Iban dahulu kala adalah seperti sijil universiti yang graduan gantung di rumah mereka sekarang, ia bukan sahaja menunjukkan pencapaian mereka, malah merakamkan perjalanan mereka merantau”, Ozzy bercerita, mengungkap tradisi bejalai orang Iban yang mana anak muda digalakkan keluar dari kampung halaman mereka untuk melihat dunia luar.


Gambar: Ketam lengan.

Pantang Iban yang paling terkenal adalah bungai terung, ataupun dikenali serata dunia sebagai Borneo Rose. Bungai terung (juga dikenali sebagai bunga terung) kebiasaannya merupakan corak tatu pertama yang diletakkan pada tubuh anak muda Iban, sesetengah cerita mengaitkan rekaan “mata asu” (mata anjing) sebagai mata yang melihat dan melindungi perjalanan mereka sewaktu mereka merantau. Ianya dikatakan sebagai bekalan perlindungan seseorang sebelum perjalanan mereka melihat dunia luar.


Gambar: Pala gajah

Rekaan tatu khusus untuk badan, yang dipanggil sebagai kelingai, yang dibezakan dengan ukir, yang merangkumi corak lain motif rekaan Sarawak. Kelingai mempunyai pelbagai nama yang menerangkan kedudukannya, seperti ketam lengan, ketam kaki atau yang menamakan objek yang diwakilinya seperti buah engkabang (buah pokok shorea macrophylla), ara nyangkam (pokok ara ‘mencengkam’) atau pala gajah (kepala gajah). Walaupun tidak ada larangan untuk kebanyakan tatu, beberapa tatu khusus seperti tatu pantang rekung atau pala tumpa secara tradisinya turut berfungsi sebagai penanda seseorang individu yang mempunyai keupayaan yang khas seperti sebagai dukun atau penenun pua kumbu. Hanya tatu penanda pemenggal kepala yang dipanggil sebagai tegulun yang dilarang sekeras-kerasnya oleh masyarakat tempatan atas sebab stigma serta bebanan ke atas si pemakainya.


Gambar: Gubahan reka bentuk Iban yang penuh. Perhatikan juga ketam lengan pada lengan lelaki ini. Tatu ara nyangkam pada bawah leher. Buah engkabang labuh (jatuh) di tengah-tengah gubahan

Benteng tradisi
Seniman tatu di Sarawak secara tidak langsung telah menjadi pengekal tradisi asal, walaupun kebiasaannya tidak mendapat apa-apa bantuan dari badan-badan yang sepatutnya. Barangkali seperti bahasa yang akan lenyap jika tidak digunakan, seniman seperti Baxx, Ozzy dan angkatan seperjuangan mereka telah mengekalkan rekaan pantang Iban sebagai salah satu pilihan di kalangan individu yang mahu menghiasi tubuh mereka. Peranan mereka terserlah melalui usaha mereka untuk mempelajari, mendokumentasi serta mengajar sesiapa yang ingin tahu mengenai seni itu.


Gambar: Pala tumpa


“Kadangkala setelah mendapatkan tatu bungai terung mereka yang pertama, kebanyakan orang muda tidak tahu mahu dapatkan tatu apa lagi, apabila timbulnya rasa “gatal kulit" untuk ditatu. Pada saat begitulah kami perlu untuk cuba menyakinkan mereka untuk membuat tatu pantang Iban lagi, supaya lebih ramai yang memakainya pada badan mereka,” kata Baxx, pelobi budaya Iban yang tidak pernah mengenal erti penat lelah. Mereka juga aktif dalam mempromosikan tatu dari Borneo tersebut bukan sahaja di dalam malah di luar negara. Selain daripada menganjurkan konvensyen di tanahair, seniman seperti Baxx Jordan dan Jeremy Low, pemilik studio Monkey Tattoo juga sering ke luar negara untuk memperkenalkan tatu Sarawak, terutamanya di benua Eropah. Selain daripada membuat tatu melalui mesin konvensional, mereka juga membuat tatu dengan menggunakan kaedah handtapping sebagaimana ianya dilakukan pada zaman dahulu.

Tidak kurang juga cabaran mereka di dalam usaha pengekalan tradisi ini; mereka seringkali dipersoal, terutamanya dalam zaman Internet sekarang akan kaedah serta praktis mereka. Apa yang lebih menyulitkan lagi, terdapat pelbagai informasi yang palsu serta mitos yang tidak wujud yang disebarkan di atas talian dan dikongsi secara meluas sehingga berlakunya kekeliruan mengenai tatacara seni tersebut.


Gambar: Hasil kerja tangan Ernesto Kalum

 

Dahulu, kini dan selamanya?
Kedua-dua Baxx dan Ozzy bersetuju bahawa terdapatnya peningkatan minat di kalangan masyarakat tempatan terhadap Pantang Iban, selari dengan perkembangan elemen budaya tempatan yang lain seperti tarian ngajat dan juga alat muzik tradisional seperti sape’. Walaupun mereka bersetuju bahawa ada kalanya minat sedemikian didorong oleh trend semasa, sekurang-kurangnya, pada mereka, seni tradisional yang diperjuangkan mereka tidak kelihatan akan luntur dimakan zaman. 

Dokumentasi serta penghidupan semula tatu di serata dunia terutamanya oleh seniman tatu yang lain seperti Durga (di kalangan suku Mentawai, Indonesia) dan ahli antropologi seperti Lars Krutak di kalangan orang asal di Kalinga, Filipina menandakan bahawa perjuangan pengekalan tradisi oleh individu seperti Baxx dan Ozzy itu turut dikongsi oleh ramai pihak yang lain. Mungkin sama perihalnya seperti seni ditubuh badan mereka yang dicacah, rupa seni ini tidak akan padam dan akan kekal wujud selagi nyawa dikandung badan.

Mungkin sudah sampai waktunya, setelah sekian lama, seni  warisan indah ini dituntut semula daripada penjenayah serta gangster.

*Fakta menarik: Amsterdam Tattoo Museum, muzium tatu yang terkenal yang terletak di Amsterdam, menggunakan Bunga Terung sebagai logo mereka.

Lihat hasil kerja pantang Iban serta rekaan lain Baxx Jordan di Instagram beliau.

Tonton saluran Ozzy di Youtube Mansau Entap

Oleh Yuen Kok Leong
Foto ihsan Baxx Jordan dan penulis

culture

An Architectural Wonder

TUE, 21 NOV 2017

What started as a modest shrine for the rubber estate and road workers of Bukit Rotan can now lay claim to being one of Southeast Asi...

culture

Mooncake Magic

WED, 04 OCT 2017

As Malaysians prepare to celebrate Mid-Autumn Festival this year, mooncakes are a common sight. We visit a traditional bakery in Kepo...

culture

A Longhouse Engagement

FRI, 15 SEP 2017

Iban weddings are expansive and elaborate in all forms – from their customs right down to their costumes. While most indige...