Perjuangan Silverfish Books

07 October 2016

Semarak budaya membaca.

Sebagai badan yang diamanahkan dengan mencetus perkembangan industri teknologi kreatif di Malaysia, MyCreative Ventures telah bergerak aktif dalam menjalinkan hubungan rapat dengan penggiat tempatan dan menyediakan bimbingan dan sokongan kepada inisiatif mereka.

MyCreative diberi mandat oleh Kerajaan Persekutuan di Putrajaya untuk menyalurkan dana pelaburan kepada entiti tanahair yang bergiat dalam 10 industri relevan: seni visual, muzik, seni persembahan, teknologi kreatif, rekaan fesyen, penerbitan isian (content creation), seni masakan, pendidikan kreatif, seni budaya dan tradisional, dan sastera. 

Dalam bidang sastera, salah satu penggiat tempatan yang menerima imbuhan dan bantuan dari MyCreative adalah Silverfish Books, sebuah penerbit karya Malaysia yang telah menyerikan industri tanahair selama 17 tahun. 

Silverfish menyemarakkan industri sastera Malaysia dengan menerbit karya dari bakat tempatan seperti Bayu (Wind) oleh Rozlan Mohd Noor, Another Malaysia: Writings on Malaysia’s Subaltern History oleh Dr Farish A. Noor, Tanah Tujuh oleh Antares, dan menerusi siri antologi cerpen Silverfish New Writing. Penerbit ini juga menyediakan inisiatif dokongan untuk karyawan baru dengan mengadakan bengkel penulisan. Melalui perniagaan runcitnya, Silverfish menyediakan ruang jualan berbentuk fizikal (di kedai bukunya di Bangsar Baru, Kuala Lumpur) dan di alam maya (www.silverfishbooks.com) bukan sahaja untuk buku-buku yang diterbitnya sendiri, tetapi juga untuk keluaran penerbit lain di Malaysia dan serantau Asia Tenggara. 

Dana bantuan yang disuntikkan MyCreative Ventures kepada Silverfish sudah tentunya meringankan beban syarikat ini, dan membolehkannya untuk mencuba beberapa pendekatan baru. Walaupun risiko dalam industri penerbitan buku agak tinggi, Silverfish berkeras dalam menerbit mutu dan nilai seni sebelum mengira keuntungan. Bantuan MyCreative dalam bentuk pinjaman berkadar rendah membantu Silverfish terus beroperasi berteraskan prinsip ini.

“MyCreative telah membantu Silverfish berpindah ke lokasi yang lebih sesuai dan mudah untuk para pembeli kami,” ujar pengasas Silverfish Books, Raman Krishnan. 

“Peruncit buku kecil sudah mula kembali menjadi perniagaan yang boleh mencapai keuntungan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya lagi. “Trend membeli e-book yang dahulunya cukup popular juga sudah sedikit pudar, menggalakkan kedai buku tradisional seperti kami mengembangkan operasi semula.”

Walaupun pada suatu ketika Silverfish mungkin terancam dengan citarasa pembeli yang lebih cenderung membeli buku dari peruncit komersil seperti Borders dan MPH, dan juga menggunakan perkhidmatan runcit e-book seperti Amazon Kindle, Silverfish tetap dengan misi asasnya iaitu memberi ruang untuk karyawan baru dan berpasaran kecil untuk mengeluarkan ciptaan mereka ke pasaran umum. 

Dengan itu, selain dari kedai bukunya yang kini berada di pusat membeli-belah Bangsar Village, Silverfish juga aktif mempromosikan jualan buku di bawah katalognya di laman web mereka. Silverfish juga telah mula mengadaptasikan beberapa judul yang sesuai untuk dijual di alam maya dalam format e-book. Silverfish menaruh harapan yang projek bengkel penulisannya akan melahirkan generasi pelapis karyawan tanahair yang akan menggerakkan lagi industri sastera Malaysia. 

“Saya yakin akan daya tahan Silverfish, kerana jenama kami sudahpun dikenali untuk kawalan mutu dan nilai seni yang tinggi,” ujar Raman lagi. “Kami menarik perhatian pelanggan dari seluruh Malaysia dan dari serata dunia, kerana mereka kenal kami dan menghayati prinsip asas kami. Silverfish memliki potensi untuk menjadi sebuah jenama Malaysia yang tersohor suatu hari nanti.”

By Azwan Mahzan

culture

Wats in Tumpat

MON, 26 FEB 2018

We take a look at the Buddhist temples that dot the town of Tumpat, Kelantan on the Thailand-Malaysia border. Situated on the nor...

culture

An Architectural Wonder

TUE, 21 NOV 2017

What started as a modest shrine for the rubber estate and road workers of Bukit Rotan can now lay claim to being one of Southeast Asi...