Dimamah Arus Millenia

09 September 2016

Bagi S. Alagusamy, kejayaan bukan dinilai dalam wang ringgit. Pemilik kedai Asoka Palaikat berkongsi pahit manis berniaga di ibu kota selama 30 tahun.

 

Sedar atau tidak, kita sedang mengalami sejenis anjakan dalam dunia Islam yang menyentuh semua aspek kehidupan; dari gerakan hijabster yang membuka mata dunia tentang pendekatan muslimah terhadap dunia fesyen ke aplikasi mobil yang memudahkan kita beribadat. Perubahan dan gerakan sosial dunia kini amat pesat, pastinya sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan kepada kita. Dalam arus pembaharuan imej Islam berpaksikan gaya hidup millenial, nilai estetik amat dititikberatkan. Generasi muslim baru ini sedar yang bukan semuanya harus dipandang dari sudut tradisional; dan dengan kesedaran ini menandakan pemikiran kelompok muslim muda kini lebih progresif.

Sudah menjadi lumrah hidup seperti pepatah “Patah Tumbuh Hilang Berganti";  begitu juga kisahnya S.Alagusamy A/L S.Chokalinggam - tuan empunya Syarikat Asoka Palaikat, toko borong kain pelekat dan sejadah yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Syarikat Asoka Palaikat telah beroperasi sebagai pemborong kain pelekat dan sejadah di ibu kota ini sejak tahun 1970 (ketika itu lokasi kedai berada di Lebuh Melayu), dan telah banyak melihat perubahan lanskap kota dan penghuninya.

“Dulu banyak orang datang beli, sini dulu ramai orang selalu masuk beli. Sudah lama meniaga, sudah pindah sini, orang pun banyak kurang sekarang. Awak tengok lah, sudah 2-3 jam hari ini seorang pun tak ada masuk beli kain. Macam mana mau meniaga ini macam?”, keluh Alagusamy tentang keadaan perniagaannya sekarang.

Harga sewa kedainya kini sudah mencecah belasan ribu dan ramai pelanggan biasanya tidak mahu memborong kelengkapan beribadat darinya kerana enggan membayar GST. Namun, beliau tetap teguh dengan prinsipnya .“Semua mau beli tapi tak mau bayar itu GST. Saya bilang tak boleh itu macam, kita mau berniaga ikut undang-undang. Kalau saya kena saman, semua pun susah. Saya punya pekerja susah, berniaga pun tak ada baik itu macam. Sekarang, kasi kutip hutang saja, bayar hutang kita juga, lepas tu kasi tutup la ini kedai”, ternyata S. Alagusamy seorang yang berpendirian teguh. Tidak hairanlah dia amat berpuas hati dengan apa yang telah diusahakannya dan syarikatnya selama ini.

Bertapak lebih dari 30 tahun di antara kawasan tersibuk Kuala Lumpur, semestinya Syarikat Asoka Palaikat ada tarikannya yang tersendiri. Mereka masih mementingkan kualiti produk yang dijual,tidak kira buatan luar atau tempatan. “Kita ada ambil kain pelekat, kain sarung dari Dungun, Kluang, Kuantan. Sejadah kita ambil Turki punya, banyak bagus kualiti. Ini cadar kita ambil Teluk Intan juga, bagus cadar ini banyak laku”, jawab S.Alugasamy bila ditanya mengenai barangan yang ditawarkan di Syarikat Asoka Palaikat.

Namun, akur dengan perubahan yang berlaku di sekitarnya, beliau kini mengambil keputusan untuk menghabiskan urusan meniaganya dan pulang ke kampung halamannya di Chennai, India. Pakcik Alagusamy telah menerima pendidikan di Muar, Johor dan hanya dengan kelulusan SRP, beliau berpindah ke Kuala Lumpur dan memulakan perniagaanya sendiri. Pada zaman itu, kawasan Lebuh Melayu dan Jalan TAR sering dipenuhi pelanggan, kedai-kedai dibuka sehingga jam 9 malam untuk melayani urusan jual beli. Tapi kini bukan sahaja kemeriahan sudah malap, malah citarasa pembeli juga sudah berubah. 

“Orang tua suka kain pelekat dari India, banyak selesa angin masuk. Ini hari aa, Indonesia punya (kain) pelekat laku. Orang muda banyak suka sama corak, tapi panas juga kalau pakai”, ujar beliau tentang perbezaan paling ketara antara generasi kini dan sebelum ini. Diakuinya dia juga lebih gemar memakai kain dari India disebabkan tiada lapisan lilin yang membuatkan ia lebih sesuai dan selesa dipakai, bukan sahaja untuk beribadat malah elok sekiranya dipadankan dengan kemeja kasual.  

Melihat keusangan stok-stok yang tersadai di rak-rak Syarikat Asoka Palakat membuat minda ini berfikir sejenak, adakah identiti muslim di Malaysia kini bukan lagi terletak di kain pelekat? Adakah sebarang jenis pakaian yang menutup aurat sudah memadai atau mungkinkah citarasa ummah di Nusantara kini lebih menjurus kepada imej saudara-saudara Islam kita di tanah Arab?

Pemodenan bukanlah satu perkara yang buruk secara menyeluruh, ianya perlu tetapi dalam proses pembentukan komuniti Islam milenial ini, premis perniagaan seperti Syarikat Asoka Palaikat menjadi korban. Dan sekiranya pembaca merasa tersentuh dengan kisah pakcik S.Alagusamy, usah merasa sebegitu. Beliau amat berpuas hati dengan kehidupan selama ini dan tidak sabar untuk memulakan hidupnya sebagai persara dengan isterinya tercinta. Kedua-dua anaknya merupakan pengurus IT di Australia dan sudah membina kehidupan berkeluarga di sana. Anak-anak dan cucu-cucu sering menjemput beliau tinggal bersama mereka, tetapi S.Alagusamy sudah mempunyai rancangannya yang tersendiri. “Orang rumah sudah ada di Chennai sana, saya pun pergi sana lah. Cuaca Australia banyak sejuk lah, saya tak boleh tahan juga. India punya cuaca sama Malaysia, panas - panas nanti sikit petang hujan. Banyak bagus”, ujar beliau tentang rancangan persaraannya.

Sebagai seorang peniaga yang telah merasai gelombang pasang surut berniaga di kota dan masih utuh dengan prinsip, kami meminta satu nasihat bagi mereka yang masih muda dalam dunia perniagaan - “Kalau itu hati susah, banyak fikir pun tak ada bagus. Ini pasal saya bayar semua hutang juga, tutup kedai, kasi hati juga senang. Banyak fikir kalu, cepat tua. Tak ada bagus”. Nasihat yang ringkas tapi sering kita lupa; mungkin ianya juga biasan identiti S.Alagusamy - seorang yang mempunyai pemahaman mudah di zaman segala yang kompleks. Moga lebih ramai S.Alagusamy timbul di kalangan milenial ini.

 

Oleh Che Semail Che Mad

This article is related to CULTURE

Happenings

The Business of Blooms

FRI, 24 AUG 2018

For Kuala Lumpur’s old florist shops, success stems from decades of hard graft and reputation.   A cluster of mom-and-p...

Happenings

Cake Delivery in Malaysia

THU, 09 AUG 2018

Cake delivery platforms like Eat Cake Today and Cake Together have eased the lives of Malaysian bakers and pastry-lovers alike. G...

Happenings

Made In Malaysia: SonneAire

THU, 05 JUL 2018

An innovative entrepreneur’s mission is to help cut Malaysia’s carbon footprint through revolutionary energy-saving air c...