JOHO: Indienomics

04 October 2016

Model ekonomi generasi muda Malaysia.

Golongan muda tidak patut percaya dengan kata-kata bahawa mereka adalah pemimpin masa hadapan. Mereka harus mempunyai pemikiran bahawa mereka adalah pemimpin hari ini. Ini adalah mantra yang dipercayai satu kumpulan muda di bandaraya Johor Bahru yang dikenali sebagai JOHO

“Lebih kurang 10 tahun yang lalu, Johor Bahru boleh dikatakan berada dalam zaman kegelapan,” kata Johan Ropi, presiden JOHO.

Ketika itu, ibukota negeri Johor sedang melalui satu krisis identiti. Pusat bandar lama mula mati, terutamanya apabila Nusajaya dijadikan pusat kerajaan negeri yang baru. Penutupan Sungai Seget, perobohan jambatan flyover di Stulang dan juga bangunan KOMTAR turut menjadi faktor.

Jalan-jalan utama seperti Jalan Trus dan Jalan Dhoby semakin lengang. Gejala sosial dan jenayah mula timbul seperti pelacuran dan pengedaran dadah. Golongan muda yang dahulunya sering mengunjungi bandar lama untuk bergaul sesama sendiri kini tidak mempunyai tempat lagi.

Bandaraya Hipster

Pengasas JOHO waktu itu, Yusri Bachok, Zul Abas dan Allayarham Azrafi Zaky Abd Rahman, mengambil keputusan untuk bertindak. Bersama dengan komuniti pemuda yang lain di Johor Bahru, mereka mula merancang pelbagai aktiviti seperti bazaar, konsert dan pesta seni di kawasan bandar lama.

Antara pesta yang pertama diadakan adalah SPAM (Southern Project Art Movement) pada tahun 2010. Ia merupakan satu pesta fotografi dan reka grafik dan telah bertempat di Roost Café di Jalan Dhoby.

“Pada mulanya kami jangka hanya 200 orang yang akan datang. Sebab itu kami adakan di kafe yang kecil. Kami terkejut apabila lebih 1,000 orang datang. Ramai yang terpaksa duduk di luar kaki lima dan jalan raya,” kata Yusri, ketua pegawai eksekutif JOHO, sambil tersenyum.

Dari situ, mereka lebih yakin untuk merancang aktiviti untuk golongan muda. Aktiviti seperti Paso Bumbung (bazar seni) dan konsert Gego kini menjadi aktiviti tahunan di Johor Bahru. Kawasan bandar lama juga mula semakin dinamik dan rancak. Kafe hipster dan pelbagai kedai mula muncul.

“Aktiviti gejala sosial di kawasan itu secara tersendiri mula hilang kerana terbatas dengan aktiviti golongan muda yang lebih sihat,” jelas Johan.

Tambahan pula, aktiviti ini diadakan di kawasan ‘brownfield area’ yang secara definisi adalah tempat yang merupakan tapak komersil atau industrial yang tidak lagi aktif. Contohnya, Paso Bumbung diadakan diatas bumbung bangunan. Gego pula diadakan di kawasan bangunan Bukit Timbalan yang sudah tidak digunakan lagi.

Inisiatif dan aktiviti JOHO bukan sahaja dapat sokongan dari golongan muda Johor, tetapi mereka juga sering bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Kilang Bateri

Johan bersama kawan-kawan di JOHO mula berfikir bagaimana untuk memastikan bahawa aktiviti untuk golongan muda di Johor Bahru boleh diteruskan tanpa mengira musim seperti yang sedang berlaku ketika itu. Mereka mendapat ide selepas terjumpa satu kilang bateri yang telah dikosongkan.

“Di kawasan Tampoi terdapat satu kilang bateri syarikat Eveready. Kilang itu tutup lebih kurang empat tahun lalu dan bangunan itu terbiar. Kami pun mendapat inspirasi untuk menghidup kembali bangunan itu,” jelas Johan.

Hajat mereka adalah untuk menubuhkan satu ‘shopping mall’ khas bagi anak muda yang kreatif dan bersifat keusahawanan untuk memulakan perniagaan atau mempamerkan hasil karya dan seni mereka. Mereka ingin menukar kilang bateri tersebut menjadi satu ‘shopping mall’ berkonsep.

Tetapi bukan mudah untuk merealisasikan ide itu. Masalah utama merupakan dana. Sewa dan pengubahsuaian sahaja akan memakan belanja yang besar, tidak termasuk lagi modal yang diperlukan untuk menjalan operasi harian. Johan, Yusri dan Zul berjumpa dengan ramai pelabur, namun tidak ada satu pun yang berjaya mereka yakinkan.

Namun dengan kegigihan dan komitmen mereka, akhirnya berjaya juga mendapat pelabur yang percaya dengan ide mereka. Dan hanya dalam masa lima minggu, mereka telah menjadi pemilik dan pengurus Kilang Bateri – ‘shopping mall’ berkonsep hipster yang pertama di Malaysia.

“Kami hanya bermula dengan 10 vendor pada bulan Jun 2015. Tetapi selepas setahun beroperasi, kami sekarang mempunyai 184 vendor,” kata Yusri.

Kilang Bateri mempunyai keluasan 110,000 kaki persegi dan selain daripada kedai pereka dan usahawan tempatan Johor, ia juga mempunyai kawasan luas dimana pelbagai aktiviti seperti pesta dan konsert boleh diadakan. Hampir semua vendor mereka terdiri daripada golongan muda Johor. Bermula bulan Oktober 2016, Kilang Bateri juga akan adakan pesta seni dan hobi pada hujung minggu yang pertama dan terakhir setiap bulan.

“Kami mahu memberi infrastruktur kepada anak muda Johor. Kalau sesiapa yang mempunyai ide untuk merancang apa-apa acara yang melibatkan seni atau kreativiti, kami sanggup memberi tapak secara percuma,” kata Zul, ketua pegawai operasi JOHO.

Kilang Bateri kini menjadi tumpuan, bukan sahaja golongan muda, tetapi hampir seluruh lapisan masyarakat Johor Bahru. Sebenarnya, bandaraya Johor Bahru keseluruhan juga semakin hidup dan rancak. Jelas bahawa usaha anak muda Johor selama beberapa tahun ini membawa kesan yang sangat positif.

“Kami hanya memainkan peranan yang kecil sebenarnya. Terdapat banyak lagi kumpulan muda di Johor Bahru yang juga aktif. Sokongan yang diberi setiap lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan umur, juga menyumbang ke arah ini. Dan kerjasama pentadbiran bandaraya dan negeri juga tidak boleh dilupakan,” kata Johan sambil tersenyum.

 

Oleh Zan Azlee

Foto oleh Jasmine and Sun

 

This article is related to SHOPPING BUSINESS

Happenings

Far From Junk

FRI, 15 DEC 2017

While Malaysians can shop for brand new books in malls and at book expos, secondhand shops like Junk Bookstore offer an entirely diff...

Happenings

Popular Ceramics

WED, 13 DEC 2017

These contemporary Malaysian ceramic makers have turned their craft into both art and commerce. “I started making ceramics i...

Happenings

The Guides of Kampung Mesilau

MON, 04 DEC 2017

In Malaysia, popular tourist spots help boost the economic activity of nearby towns and villages. Thanks to its proximity to Mount Ki...

Happenings

The Drones We Are Looking For

TUE, 28 NOV 2017

Out of its unassuming shoplot space in Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Malaysian drone company Pulsar UAV has big plans to revolu...