Kepala Kain

14 October 2016

Mendekati denim dari lensa lokal. 

Seluar jean, pakaian yang dikaitkan dengan pelbagai perkara berbaur kontroversi - dari imej “budak jahat” ke “kutu rock”. Ianya bukan sahaja sepasang seluar biasa, tetapi termaktub dalamnya sifat pemberontakan, lasak dan jiwa si pemakai.  

Zaman ini, seluar jean sudah mula diterima pakai di acara rasmi, malah mustahil jika seseorang itu tidak pernah memiliki sepasang  seluar jean. Jeans merupakan potongan seluar berpoket 5 yang amat popular manakala denim pula adalah jenis fabrik yang digunakan untuk membuat seluar jean, jaket, dan apron kerana ianya tahan lasak. Denim diperbuat dari kapas menggunakan teknik twill dan asalnya digunakan oleh pekerja kilang dan pembina landasan keretapi di Amerika Syarikat pada mulanya zaman perindustrian dunia. 

Sejak kebelakangan ini, timbul beberapa pengusaha denim tempatan mengeluarkan produk yang menyaingi pasaran antarabangsa. Salah satu dari mereka adalah Cheese Denim - dimiliki oleh Hasri Abdul Rani atau nama gelarannya, Chi. Chi juga menguruskan sebuah kedai pakaian yang khusus buat para peminat denim - The Yard bertempat di SS15 Subang Jaya. 

Chi mengambil keputusan untuk meneruskan minatnya dalam pembuatan barangan denim setelah berkerja di pelbagai industri. Dari menerbitkan majalah Shifty Mag (mengenai papan selaju dan topik berkaitan) kepada menguruskan hal pemasaran hotel-hotel di serata Malaysia, Chi meninggalkan kehidupan bergaji yang selesa dan stabil, menghumbankan diri beliau ke dalam dunia yang serba indigo. “Memang sejak dulu lagi ada peminat denim, era 80-an dan 90-an di kawasan Campbell dan Pertama Complex. Cuma dahulu kita kurang akses kepada barangan denim dan ilmu juga terhad. Pada tahun 2013, aku keluar dari comfort zone aku dan terus tumpukan kepada Cheese Denim dan The Yard. Walaupun minat orang Malaysia terhadap denim yang berkualiti kurang, aku tetap teruskan dengan visi aku”, ujar Chi mengenai sokongan komuniti penggemar denim di Malaysia. 

Seperti jenama-jenama denim yang terkenal, Cheese Denim diperbuat dari kain denim yang di impot dari Jepun, lebih khusus, kilang-kilang di daerah Kojima, Okayama. Pastinya beliau goyah ketika baru memulakan perjalanan sebagai usahawan, tetapi kini dengan tempahan dari peminat denim sejauh Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong malah dari Jepun sendiri, Cheese Denim sudah mula menempa nama dalam dunia denim antarabangsa. 

“Mereka (pelanggan Cheese Denim) kebanyakan ingin tekstil denim yang kukuh untuk pelbagai kegunaan (seluar denim popular di kalangan peminat motosikal dan mereka yang terlibat dengan kerja lasak) dan kita mempunyai kelebihan di harga kami. Baru sahaja ada pelanggan dari Jepun yang mengatakan yang hasil kerja tangan kami hampir setara dengan seluar jeans di sana.” Chi memberitahu tentang perkembangan jenamanya. 

Sifat ingin tahu Chi menyebabkan beliau mendalami pelbagai aspek teknikal dalam pembuatan pakaian tanpa tunjuk ajar dari sesiapa, mungkin hanya beberapa tukang jahit untuk tips tapi pada dasarnya, hanya pengalaman dan majalah-majalah Jepun menjadi “tok guru”. Tekstil denim lebih rumit dibuat pakaian berbanding dengan kain kapas biasa, kerana ketebalan dan peratus pengecilan selepas dibasuh (terma yang sebetulnya ialah “shrinkage”) jadi terjawablah soalan kenapa sepasang seluar jean yang diperbuat dari denim yang berkualiti boleh mencecah harga RM500 ke atas.

Product knowledge pun kena banyak kalau nak jual seluar selvedge. Kalau selvedge biasa pun harga dah RM400, mahal tu! Sebab tu kalau benda kita sendiri yang hasilkan, senang nak jawab. Kami pernah menerima tempahan seluar 32oz (denim yang amat keras dan tebal) tapi dia dari U.S lah. Saiz 30 seberat 1.5 kilogram! Tapi sebab dah tempah, kami buat aje. Dan pelanggan itu berpuas hati dengan seluarnya”, ujar Chi mengenai proses pembelajaran mempelajari dan mengendali denim.

Sekitar era hujung 80-an ke 90-an, kilang pertama Levi Strauss di Asia beroperasi dari Pulau Pinang. Pulau Mutiara dipilih kerana lokasi strategiknya yang merupakan sebagai sebuah pelabuhan dan juga hasil kerja tangan pekerja Malaysia yang bermutu. Namun, tidak lama selepas itu produksi jenama jean terbesar di dunia itu beralih ke negara-negara seperti China dan Vietnam untuk mengurangkan lagi kos produksi. Bagi peminat denim zaman ini, untuk memilki sepasang seluar buatan Amerika Syarikat atau Jepun mereka haruslah mencari di kedai baju terpakai atau slanga jalanannya - “bundle”. Di era yang sama, lahirlah para tukang jahit yang mengkhusukan dalam pembaikan seluar jean terpakai. 

“Aku mula alter seluar tahun 1987, masa tu kedai aku di Kompleks Munsyi Abdullah. Aku buka kedai seorang je. Aku buka pasal minat jeans, fesyen, jadi mula lah berkecimpung perlahan-lahan. Belajar pun sendiri je”, Abang Latep memperkenalkan diri beliau, seorang tukang baiki denim yang berpengalaman di Kuala Lumpur. Abang Latep kini masih meneruskan khidmatnya di Kompleks Campbell - kedainya penuh dengan pelbagai jeans berjenama dan memoribilia unik yang tergantung di dinding lot kedainya. Matang dalam pengendalian kain denim dan pelanggan, dia berkata yang ilmu menjahit ini tidak akan berakhir. Ianya satu proses pembelajaran yang panjang dan pasti ada sahaja benda baharu yang kita akan pelajari. Memberi ulasan tentang mengendali pelanggan pula, dia menegaskan, “Kadang-kadang customer aku datang, badan berisi tapi nak suruh alter jeans jadi potongan skinny. Tak lawa lah kau pakai macam ni! Jadi, tukang jahit ni bukan sekadar menjahit tetapi sebagai penasihat imej juga. Malu lah kalau pelanggan keluar kedai ni tapi tak bergaya.”  

Beliau juga berpendapat yang fesyen rakyat Malaysia masih dipengaruhi ikon-ikon tempatan biarpun ada yang tidak sepadan dengan bila berketerampilan sebegitu. 

“Kalau tanya aku mereka yang berbadan besar, pakai lah ala American Style. Tak perlu ketat - ketat, potongan seluar longgar tapi kemas dan aksesori ringkas sudah memadai. Tapi ramai yang tak mengerti gaya ni, ada yang umur nak 50 tahun pun masih pakai skinny jeans.” tambah lagi beliau tentang gaya kebanyakan pelangannya. Jelas, pengalaman dan sifat terus-terang amat perlu dalam menjalankan perniagaan beliau yang sudah lebih dua dekad. 

Apabila ditanya mengenai peredaran zaman dan pendapat tentang minat denim di Malaysia, jelasnya “Memang makin banyak yang hantar jeans untuk dibaiki, tetapi kebanyakannya mereka tak tahu apa. Jeans stretchable (kain yang lebih elastik dan nipis) pun dianggap seperti denim, jadi kita kena terangkan kepada mereka. Sama juga bagi mereka yang membaiki jeans atau denim, kena tahu saiz benang, ciri-ciri kain; bukan sekadar mesin jahit Union Made yang membuatkan hasil kerja kau bagus”, beliau bersuara dari pengalaman. 

Seiringan dengan tren motosikal cafe racer dan skinny chopper yang kini makin meriah di Malaysia, pemilihan pakaian yang sesuai dengan hobi ini membuatkan permintaan denim berkualiti meningkat. Bukan sekadar gaya, malah penggunaan kain lasak ini amat praktikal sekali terutamanya bila mengendalikan motosikal berkuasa besar dan berkelajuan tinggi. Chi mengkhabarkan satu acara khusus untuk produk denim, kulit dan apa-apa yang ada patina (lapisan kimia yang membuat sesuatu permukaan menua dari proses pengoksidaan) akan diadakan, dan ianya akan menampilkan jenama-jenama tempatan akan dianjurkan tahun ini. Buat penggemar denim yang sedia ada atau yang ingin memiliki sepasang seluar jean yang bermutu tinggi, nantikan acara ini sekitar hujung tahun 2016. 

Cheese Denim bukan sahaja mengeluarkan jeans - malah jaket, apron, dompet malah sarung bantal denim. The Yard pula menawarkan bukan sekadar pakaian, malah barangan penjagaan rambut seperti pomade dan sikat, kasut-kasut gaya ala Jepun dan Amerika, serta aksesori yang pasti menarik perhatian anda. 

Abang Latep yang lebih gemar identiti sebenarnya dirahsiakan sering ke Jepun untuk melawati daerah Okayama demi mempertingkatkan ilmu tentang tekstil berkata “Kedai aku tak ada papan tanda apa-apa, kalau sesiapa yang tahu , tahu lah”. Tidak syak lagi, sepasang seluar jeans bukan sekadar pakaian. Ianya benar-benar tentang “attitude” si pemakai. 

Oleh Che Semail Che Mad 

 

 

 

This article is related to DENIM JEANS FESYEN SHOPPING OFF THE BEAT BUSINESS

Happenings

Far From Junk

FRI, 15 DEC 2017

While Malaysians can shop for brand new books in malls and at book expos, secondhand shops like Junk Bookstore offer an entirely diff...

Happenings

Popular Ceramics

WED, 13 DEC 2017

These contemporary Malaysian ceramic makers have turned their craft into both art and commerce. “I started making ceramics i...

Happenings

The Guides of Kampung Mesilau

MON, 04 DEC 2017

In Malaysia, popular tourist spots help boost the economic activity of nearby towns and villages. Thanks to its proximity to Mount Ki...

Happenings

The Drones We Are Looking For

TUE, 28 NOV 2017

Out of its unassuming shoplot space in Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Malaysian drone company Pulsar UAV has big plans to revolu...