Sembang Petang: Edy J. Herwan

23 September 2016

Antara minat, etika do-it-yourself dan realiti kehidupan.

Pada sebelah petang, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail memang terasa janggal dan sunyi, kerana kebanyakan kedai-kedai di dalamnya sudah pun ditutup. Peniaga-peniaga semuanya sudah pulang selepas sibuk bekerja di sebelah pagi. Yang kelihatan hanyalah beberapa orang pekerja pembersihan yang sedang menyapu di aras bawah pasar. Tetapi di dalam keheningan ini kedengaran alunan muzik reggae dari tingkat atas. Mungkin keadaan ini membuatkan keadaan petang itu lebih pelik, atau pun mungkin lebih mencurigakan.

Jika anda cukup kemusykilan untuk mengikuti dan mencari sumber alunan muzik ini, anda akan dibawa ke sebuah lot pasar di tingkat satu yang diubah menjadi kedai piring hitam yang penuh sarat dengan rilisan muzik yang kebanyakannya dari Jamaica. Tuan punya kedai ini merupakan salah seorang penggerak utama arena muzik bawah tanah sejak zaman 90an lagi—Edy J. Herwan. Beliau merupakan anggota asal band A.C.A.B yang memperjuangkan idealogi S.H.A.R.P (singkatan bagi SkinHeads Against Racial Prejudice ) menggunakan genre muzik Oi!. Mungkin ramai juga yang lebih mengenali beliau sebagai anggota utama Gerhana Ska Cinta. Kini Edy juga bergelar usahawan, suami, bapa dan semestinya peminat muzik tegar. Kami mengambil masa untuk berbual seketika berlatarbelakangkan alunan muzik reggae.

“Sekarang (aku) sedang sibuk dengan rakaman terbaru Gerhana Ska Cinta, kami akan buat comeback, a real comeback dengan original line-up. Kami baru selesai merakam di BSync Studios dan proses mixing sedang dikendalikan Roger Rivas (anggota kumpulan The Aggrolites dari Los Angeles). Selama ni asyik aku atau Bakri (pemain drum) je yang buat sendiri, jadi kali ini kami memang nak sound yang berlainan, jadi kami cuba hantar ke luar negara”, kata Edy memulakan perbualan.

Tambah Edy, “Kerja pula, sekarang aku bekalkan pastries ke kafe KULCATS (di Taman Tun Dr. Ismail). Itu memang kerja harian. Sekarang fokus nak siapkan kedai ini, tapi pelan-pelan kayuh-lah. Kat KL ni dah macam-macam vinyl store yang ada, tapi aku nak khususkan kepada koleksi-koleksi reggae, ska, rocksteady, 7” reissue ke, LP lagu Melayu lama pun ada.  Ramai juga yang cari records Melayu lama kat sini; reggae kurang sikit-lah. Tapi sebab passion, aku jual je. Kalau orang tak beli aku simpan sendiri. Nanti aku nak masukkan mesin pembuat kopi dan orang boleh lepak sini, boleh dikatakan reggae cafe lah ni.”, katanya separuh berseloroh.

Belajar tinggi-tinggi atau kerja sendiri?

 “Secara peribadi, ada pros dan cons. Kalau kau belajar tinggi-tinggi baik kau kerja kat luar (negara) je sebab nak sara kos hidup bukan murah walaupun berijazah. Ada orang aku tengok buat 2-3 kerja semata-mata nak tampung kehidupan. Sebab kau kena bayar harga tinggi untuk a good life. Kalau kerja sendiri bagi aku pun, tak boleh kerja kuat sangat. Kerja sendiri pun bukan senang juga; lepas setahun aku mengusahakan kafe aku dulu, aku terpaksa tutup sebab kos meniaga tinggi. Sebab itu kalau nak berjaya, kena pandai bekerja, bukan semata-mata rajin bekerja.”

“Dulu pun aku kerja dengan orang, tapi selepas aku teruskan dengan impian dengan muzik dan perniagaan aku, aku rasa bekerja sendiri adalah yang terbaik. Ada kebebasan dan lebih masa untuk buat apa yang aku nak macam lepak dengan keluarga. Aku memang orang yang sukakan freedom. Lagipun, keluarga aku memang banyak terlibat dengan bisnes F&B dan meniaga kan sunnah Rasul.”

Muzik: Hobi atau naluri?

“Bagi aku, bermain muzik adalah hobi dan naluri. Untuk nak cari makan, muzik macam aku main ni, tak boleh kot.  Buat pocket money sikit- sikit beli vinyl boleh-lah, kalau nak menampung keluarga… bukan tak boleh tapi muzik ska di Malaysia ini mana ada peminat sangat.”

Tambahnya lagi, “Aku dah lalui macam-macam dah, dari zaman underground dulu sampai label mainstream bawa kitorang untuk blend in dengan orang industri, memang diorang tak boleh terima. Sekarang kitorang kembali kepada menguruskan band secara D.I.Y (do-it-yourself). Selepas habis kontrak dengan label besar, aku buat sendiri je—lagi best-lah. Keluar duit sendiri lebih sikit tapi memang worth it. Sama je kalau bisnes atau muzik, kalau usaha sendiri lagi puas hati. Pasal minat terhadap muziklah aku tubuhkan A.C.A.B, dan tak lama selepas tu aku sedar tak banyak kumpulan ska di Malaysia ni, jadi aku kongsi minat aku dengan beberapa kawan aku dan kami tubuhkan Gerhana Ska Cinta.”

“Selepas itu pula tak ada lagi band yang main musik “dirty reggae” jadi aku tubuhkan

The Aggrobeats (sebuah lagi band dianggotai Edy). Jadi bagi aku, kalau kau nak buat, buat je. Orang nak terima ke tak tu belakang cerita.”

Pesanan bagi mereka yang bertanggapan negatif terhadap skinhead?”

“Benda-benda macam ni, aku takde pesanan buat mereka. Cakap macam mana pun, skinhead ni bagus, skinhead ni positif; orang akan fikir negatif juga, pasal semua orang dah ada tanggapan tersendiri berasaskan apa yang disiarkan oleh media massa. Pastu kalau cakap pasal hal ini, orang buat filem-lah, dokumentari-lah, lama-lama isu buruk macam dulu balik akan naik balik. Jadi, biarkan je, apa-apa subculture pun akan dapat pandangan tak elok.”

“Kalau nak banding dengan isu skinhead di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain, memang tak sama. Di sana keadaan hidup lebih ekstrim, jadi usaha nak menegakkan idealogi S.H.A.R.P atau anti-fasis mereka juga ekstrim. Banyak yang cakap skinhead ni rasis, tapi macam mana pula aku boleh dengar banyak black music? Jadi bila mereka tanya “Betul ke?” baru kita explain. Mereka tak tahu pun yang skinhead ni dengar pelbagai musik, lebih-lebih lagi dari Jamaica atau soul music.”

“Ternyata mereka ni tak cukup kajian terhadap komuniti skinhead. Bob Marley pun pernah main ska sebelum bermain reggae, Bob Marley was a rudeboy before, jadi macam mana kami ini dianggap rasis? Dengan kehadiran internet sekarang, bukan semua orang percaya media secara bulat-bulat. Jadi, tak payah nak terangkan. Kalau nak tahu, mereka akan buat research sendiri.”

D.I.Y sampai mati?

D.I.Y ni subjektif; sekarang Gerhana Ska Cinta bergerak secara D.I.Y tapi untuk distribution deal mungkin kami akan pakai khidmat orang lain. Jadi di mana pula pegangan D.I.Y kami kat situ? Aku tak cakap aku (betul-betul) D.I.Y tapi dari segi musik, rakaman, imej, main show…. D.I.Y lebih bebas-lah. Kalau dengan label rakaman, semua benda kena kawal. Kalau langgar pula, kami akan diberi kurang kasih sayang. Lepas dah kena pengalaman macam tu, kalau boleh buat sendiri la. Buat apa yang termampu dengan apa yang ada.”, kata Edy mengakhiri perbualan.

Buat para peminat musik reggae, ska atau sekiranya ingin melengkapkan koleksi piring hitam lagu-lagu Melayu, singgah ke Edy J Record Store di lokasi Aras 3, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Jalan Wan Kadir 1, 6000 Kuala Lumpur. Masa beroperasi adalah dari Isnin ke Sabtu, jam 2.30 - 5.30 petang.

This article is related to OFF THE BEAT BUSINESS

Happenings

Far From Junk

FRI, 15 DEC 2017

While Malaysians can shop for brand new books in malls and at book expos, secondhand shops like Junk Bookstore offer an entirely diff...

Happenings

Popular Ceramics

WED, 13 DEC 2017

These contemporary Malaysian ceramic makers have turned their craft into both art and commerce. “I started making ceramics i...

Happenings

The Guides of Kampung Mesilau

MON, 04 DEC 2017

In Malaysia, popular tourist spots help boost the economic activity of nearby towns and villages. Thanks to its proximity to Mount Ki...

Happenings

The Drones We Are Looking For

TUE, 28 NOV 2017

Out of its unassuming shoplot space in Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Malaysian drone company Pulsar UAV has big plans to revolu...