5 Aktiviti Menarik di Kuala Kubu Bharu

23 October 2017

Bandar yang mempunyai lanskap yang unik dan tarikan tersembunyi masih mendapat tempat di hati mereka yang gemarkan nostalgia dan cabaran.

Kuala Kubu Bharu (KKB) sebenarnya bukanlah satu bandar baharu. Bandar ini sudah wujud sejak awal abad ke-19 lagi dan telah melalui pelbagai peristiwa bersejarah termasuklah perang saudara kerajaan silam Selangor serta penjajahan British.

Ketika penjajahan British, bandar ini dirancang sebagai bandar di dalam taman dan cita-cita ini masih lagi kelihatan dalam kecantikan bangunan-bangunan rendahnya dan kehijauan lanskapnya. KKB sekarang menjadi tarikan pelancong untuk aktiviti lasak dan riadah. Jika anda berminat untuk melawat bandar kecil ini, ia akan mengambil masa dalam satu jam dari Kuala Lumpur dan ini satu senarai lima aktiviti yang anda boleh lakukan di KKB.




Makan di Sun Sun Nam Cheong
Kedai makan ini terletak di dalam bandar KKB dan kerap dikunjungi penduduk setempat dan pelawat ke KKB. Antara makanan yang menjadi sebutan di sini ialah kuey teow kung fu dan set sarapan pagi tetapi tempat ini paling terkenal dengan mee hailamnya. Pemiliknya, En. Tan mewarisi resipi dan kedai ini dari bapanya dan kini menguruskan kedai ini dengan anak perempuannya. Yang menarik sekali, kedai ini sudah beroperasi sejak 1920 dan struktur bangunan yang menempatkan restoran ini sudah berumur lebih 120 tahun. Kedai ini tutup setiap hari Isnin dan jika tidak begitu sibuk, Mr. Tan mungkin akan duduk bersama anda untuk berkongsi cerita dan pengalaman selepas beliau selesai memasak.

Alamat: 8 Jalan Mat Kilau, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor (03 6064 1168/012 918 1003). Buka 7pg-3ptg setiap hari.



Cabar diri anda menaiki Lata Medang dan Bukit Kutu
Terdapat banyak sungai yang mengalir ke arah Empangan Sungai Selangor dan Lata Medang adalah antara yang tercantik kerana ia tidak terjejas dengan pencemaran. Tempat permulaan pendakian Lata Medang terletak kira-kira 15 minit daripada pusat bandar dan dalam perjalanan ke situ, anda akan melalui Kampung Pertak, satu kampung Orang Asli yang moden, dan anda juga boleh berhenti untuk mandi-manda di Air Terjun Kuala Kubu Bharu. Tempat ini dipenuhi keluarga yang datang beriadah pada hujung minggu tetapi anda boleh pergi ke Lata Medang dengan mengembara sepanjang 6km (perjalanan mengambil masa dua jam) untuk jauhkan diri dari para pelancong yang lain. Bukit Kutu juga salah satu pilihan sekiranya anda berminat dengan sejarah kerana di situ terdapat tinggalan sebuah rumah banglo British yang dahulunya dibina untuk kakitangan awam. Perjalanan ke Bukit Kutu mengambil masa kira-kira tiga atau empat jam dengan ketinggian 1,053 meter di atas paras laut.

Koordinat tapak mula: 3.572510N, 101.738128E. Buka 6pg-7ptg setiap hari.
 


Pemandangan Empangan Sungai Selangor
Empangan Sungai Selangor semestinya akan menjadi perhatian kepada mereka yang dalam perjalanan ke mana-mana air terjun di sekitar KKB atau yang ingin ke Fraser’s Hill. Empangan ini berdiri gah dengan kelebaran 400 meter dan 19,700 hektar tanah sekitarnya telah digazet sebagai kawasan tadahan air yang dilindungi, bagi memastikan kekurangan pencemaran dan perubahan lanskap semula jadi di kawasan tersebut. Empangan ini, kawasan takungan dan pulau-pulau kecil sekeliling boleh dinikmati dari pelbagai perspektif kerana terdapat beberapa hentian menghadapnya. Sepanjang perjalanan anda boleh melihat kaki pancing, kumpulan berbasikal, orang bersenam serta beriadah. Kadangkala, terserempak juga beberapa kru penggambaran di kawasan ini.

Alamat: Sepanjang jalan menuju Fraser’s Hill, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor.



Lihat dunia dari perspektif lain menerusi paragliding
Kepada yang mencari cabaran pada altitud yang lebih tinggi, anda boleh cuba aktiviti luncur layar atau paragliding di Taman Millenium. Satu sesi luncur layar biasanya akan mengambil masa sepuluh hingga 30 minit dan anda hanya boleh meluncur bersama profesional jika anda mahu mencubanya untuk kali pertama. Ketika di udara, anda akan dapat melihat Empangan Sungai Selangor, hutan-hutan dan bukit bukau sekitarnya dan bandar KKB dari sudut pandang seekor burung. Jika anda berminat, anda harus menempah tempat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Satu aktiviti lasak ropewing juga bakal dibuka di KKB dan sekarang ia dalam proses mendapat permit dan pemeriksaan keselamatan.

Alamat: KKB Paragliding Park, Taman Millenium, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor (019 204 8123). Waktu buka bergantung kepada tempahan.

 


Nikmati Pastri di Kedai Roti Teng Wun Bakery & Confectionery
Dalam perjalanan pulang, anda boleh singgah ke kedai roti Teng Wun di Jalan Dato Muda Jaafar. Sesiapa yang pernah ke sini pasti akan mencadangkan anda cuba pastri lapis kaya puff mereka yang rangup dan berkrim. Kek durian dan pandan di sini juga digemari ramai. Pastri di sini menjadi buah tangan yang baik untuk mereka di rumah. Kedai ini dibuka sehingga jam 5 petang tetapi anda kena cepat kerana pastri mereka yang sedap-sedap akan habis awal.

Alamat: 15, Jalan Dato Muda Jaafar, Pekan Kuala Kubu Bharu, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor (03 6064 1586). Buka 8pg-5ptg setiap hari.

Oleh Qayyum Jumadi
Foto paragliding ihsan KKB Paragliding Park.

This article is related to FOOD NATURE KKB KUALA KUBU BHARU

off the beat

Raising Hope

MON, 20 NOV 2017

With a variety of arts programmes, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun fosters creativity among children from all backgrounds. ...

off the beat

Park Life

MON, 23 OCT 2017

Exploring the various neighbourhood parks in the Klang Valley, we take a look at Malaysia’s favourite past times, manifested th...