Angkat Tangan Demi Pencegahan #HIV

30 November 2016

Dalami usaha-usaha menangani isu HIV/AIDS di Malaysia sempena Hari AIDS Sedunia.
Hari AIDS Sedunia diraikan setiap tahun pada tanggal 1 Disember sejak tahun 1988 untuk memberi sokongan kepada pesakit-pesakit AIDS, selain untuk memperingati mereka yang telah meninggal dunia akibat penyakit ini. Selain itu, hari ini juga bertujuan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran awam tentang HIV/AIDS, yang kini masih lagi diselebungi stigma dan salah faham.

Tahun ini, Hari AIDS Sedunia membawa tema “Hands Up for #HIV Prevention” (Angkat Tangan Demi Pencegahan HIV), untuk menekankan pentingnya pencegahan virus ini agar dapat mengurangkan kes-kes jangkitan terbaru. Menurut laporan AIDS Data Hub 2014, lebih 6,000 rakyat Malaysia pernah dijangkiti HIV, manakala lebih 100,000 rakyat yang kini masih menderita dengan wabak ini. Tambahan pula, wabak ini juga telah mengakibatkan lebih kurang 9,000 kematian setakat ini.

Antara tanda-tanda awal jangkitan HIV/AIDS termasuk selesema, sakit kepala, demam, keletihan dan ruam. Namun begitu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu bergantung kepada tanda-tanda sebegini, kerana setiap tubuh badan individu bertindak berbeza kepada jangkitan tersebut. Langkah yang paling selamat adalah untuk menjalani ujian saringan HIV, yang merangkumi pemeriksaan antibodi melalui darah atau cecair badan.

Jangkitan HIV biasanya berlaku melalui pertukaran cecair badan dengan pesakit yang positif HIV, iaitu melalui hubungan seks atau penggunaan jarum suntikan yang sama. Selain dari itu, wanita mengandung yang HIV positif juga boleh menjangkiti bayinya melalui uri ketika sedang hamil, melalui sentuhan dengan cairan badan ketika bersalin atau melalui susu badan. Namun begitu, orang ramai masih mempunyai tanggapan yang salah terhadap cara jangkitan HIV boleh berlaku. Bertentangan dengan kepercayaan umum, virus ini tidak boleh dipindahkan melalui angin, nyamuk mahupun sentuhan kulit biasa bersama pesakit HIV/AIDS. Malah, virus ini juga tidak akan dipindahkan dengan perkongsian minuman atau makanan bersama pesakit HIV/AIDS.

Tanggapan-tanggapan salah yang masih luas berleluasa ini mengakibatkan pesakit-pesakit HIV/AIDS sering disisih oleh masyarakat. Terdapat juga kes-kes dimana pesakit AIDS tidak diberi peluang pekerjaan semata-mata kerana mereka membawa virus HIV. Terdapat beberapa organisasi di Malaysia yang ditubuhkan untuk mengajar serta mengubah persepsi masyarakat tentang wabak ini, selain juga untuk memberi sokongan kepada pesakit-pesakit AIDS. Antaranya termasuklah Malaysian AIDS Foundation dan SEED Foundation.

Malaysian AIDS Foundation (MAF) ditubuhkan pada tahun 1993 untuk mengumpul dan mentadbir dana dan menyokong aktiviti dan program-program Malaysian AIDS Council (MAC). Antara kempen yang telah dijalankan oleh MAF termasuklah Red Ribbon Youth Club, persatuan remaja yang yang ditubuhkan pada tahun 2012 untuk tujuan mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan sokongan dalam menangani isu-isu berkaitan HIV. Lebih 6,000 pelajar dari lapan buah universiti telah menyertai persatuan ini, dan mereka juga telah menghadiri pelbagai bengkel, forum dan program kutipan dana sejak pertubuhannya.

Selain itu, MAF juga telah menubuhkan Red Ribbon Celebrity Supporter, di mana selebriti-selebriti Malaysia termasuk Dato Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Aaron Aziz telah mengambil bahagian dalam beberapa kempen kesedaran dan kutipan dana, contohnya penubuhan Rumah Sahabat, pusat perlindungan pertama di Kelantan yang dilengkapi penjagaan paliatif. Selebriti-selebriti ini juga bakal menjayakan Malaysian AIDS Foundation Kuching Gala untuk mengumpul dana bagi membina Pusat Penjagaan Kesihatan HIV di Sarawak.

SEED Foundation pula yang turut dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia, telah ditubuhkan pada tahun 2007. Setelah pembiayaan dari kementerian dihentikan, SEED bertungkus lumus mengumpul sumber untuk meneruskan kerja-kerja komuniti mereka, searas dengan motto mereka iaitu “Nobody Gets Left Behind,” (Tiada Siapa Akan Ketinggalan). Mereka kini beroperasi di Chow Kit dan menyokong serta membantu lebih 9,800 orang.

Antara program-program yang dianjurkan oleh SEED termasuklah program kesihatan untuk pekerja seks wanita dan transgender yang dibiayai Kementerian Kesihatan. Program ini menyasarkan pekerja seks jalanan, dari rumah dan juga pekerja seks yang bekerja di rumah pelacuran. Mereka memberi informasi serta mengedarkan kondom dan lubricant sebagai perlindungan dari ancaman STD (sexually-transmitted diseases). Mereka juga menjemput doktor dari klinik awam berdekatan untuk memberi pencerahan tentang penyakit seperti HIV dan cara-cara mendapatkan rawatan.

Selain itu, SEED juga telah menganjurkan Hari AIDS Sedunia di Publika tahun lepas untuk meningkatkan kesedaran rakyat umum tentang penyakit HIV/AIDS. Pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk persembahan yang berunsurkan pendidikan, sesi perkongsian dari pesakit-pesakit AIDS serta jualan barangan dan pengutipan dana.

Sudah tentu usaha kedua-dua organisasi ini tidak lari dari rintangan dan cabaran dari pelbagai pihak. Menurut Jasmin Jalil, pengarah eksekutif MAF, antara cabaran yang terpaksa diharungi termasuklah sikap konservatif segelintir masyarakat yang tidak bersikap terbuka untuk menerima bimbingan dan pendidikan tentang seks, dadah, penggunaan kondom serta informasi tentang HIV dan AIDS. Namun begitu, usaha tetap diteruskan dengan mencuba sedaya upaya untuk mengetengahkan isu-isu tersebut sambil menjaga dan menghormati sensitiviti budaya kita. Selain daripada itu, stigma dan aib yang sering dikaitkan dengan penyakit HIV/AIDS juga menghalang orang ramai untuk menyertai kempen-kempen berkaitan dengan isu. Akhir sekali, sesetengah pihak juga menyalah tafsir tindakan-tindakan seperti memberi pendidikan tentang dadah dan seks serta pengedaran kondom sebagai “menyokong” perkara-perkara yang tidak bermoral.

Bagi Sulastri Ariffin dari SEED Foundation pula, cabaran terbesar yang terpaksa mereka harungi termasuklah pihak berkuasa yang tidak selalunya bekerjasama dalam menangani kes-kes berkaitan HIV/AIDS. Selain itu, mereka berpendapat bahawa pihak media arus perdana juga tidak bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran tentang wabak ini. Contohnya, informasi serta butiran yang tidak selalunya tepat sering dipamerkan di ruang-ruang media. Perkara sebegini akan menjurus kepada sifat prejudis serta diskriminasi terhadap golongan masyarakat yang telah dijangkiti mahupun mereka yang terdedah kepada HIV/AIDS, seperti pekerja seks serta penagih dadah.

Menurut Jasmin dan Sulastri, antara langkah-langkah yang dapat diambil oleh pihak berkuasa untuk meningkatkan usaha dalam menangani isu ini termasuklah meningkatkan perlindungan terhadap pesakit-pesakit AIDS, terutamanya di tempat kerja mahupun sekolah, kolej dan universiti. Selain itu, langkah penting yang wajar diambil adalah menambahbaik sistem undang-undang yang melibatkan HIV/AIDS, serta mengulas dasar undang-undang yang tidak menyebelahi sesetengah golongan yang lebih terdedah kepada penyakit ini seperti penagih dadah serta pekerja seks.

Selain dari pihak berkuasa, orang ramai juga boleh memberi sokongan dan solidariti kepada pesakit-pesakit AIDS. Selain dari mempelajari dan memahami perjuangan serta pergelutan pesakit-pesakit AIDS, orang ramai juga boleh menjadi sukarelawan dan bekerjasama dengan NGO ataupun menderma kepada tabung-tabung HIV/AIDS bagi menolong untuk meringankan beban pesakit AIDS serta keluarga mereka. Paling penting sekali, orang ramai digalakkan untuk lebih bersifat terbuka serta melibatkan diri dalam usaha-usaha meningkatkan kesedaran awam, terutamanya dalam mendidik satu sama lain tentang kepentingan pencegahan HIV, seiring dengan tema Hari Aids Sedunia tahun ini.


Untuk mendaftar sebagai sukarelawan atau memberi sumbangan kepada Malaysian AIDS Foundation, orang ramai boleh mengisi borang atau melayari https://yam.org.my/V2/project/give-me-five/.

Orang ramai juga boleh membuat sumbangan terus kepada SEED Foundation melalui perbankan di nombor akaun CIMB 8006999903 (Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia). Mereka juga boleh dihubungi melalui emel di seed@seedfoundation.com.my.

Oleh Dhabitah Zainal
Photo ihsan Malaysian AIDS Foundation.

This article is related to OFF THE BEAT AIDS

off the beat

The Cikgu Life

MON, 13 AUG 2018

A group of former teachers turn work into play with a new table-top game. Popular games are often built on lofty ambitions. Become...