Sembang Petang : Fauzan Fuad

18 December 2016

Mengenali diri sendiri mungkin bukan satu perkara yang mudah, namun ianya perlu. Fauzan Fuad bersembang mengenai persepsi terhadap seni, kesedaran hidup yang tinggi dan kepentingan mencari diri sendiri. 

Jarang kita mendengar kerjaya seperti seniman dapat menampung hidup, apatah lagi dengan jangkaan generasi yang lebih tua yang berpadangan agak skeptikal apabila seseorang itu mengambil aliran seni. Tetapi, itu hanya tanggapan normal masyarakat kita. Pandangan sosial terhadap mereka yang berjiwa seni dapat diwakilkan oleh petikan filem P. Ramlee berjudul 'Ibu Mertua-ku' di mana si ibu membantah sekerasnya hajat anak gadisnya mengahwini seorang ahli musik. 

Jangan pula menyangka mereka ini berfikiran kolot, kerana mengikut mentaliti Fauzan, mereka diletakkan dengan pemikiran sebegitu bukan sebagai masalah bagi seniman, tapi sebagai cabaran untuk membuktikan semangat juang mereka. Fauzan Fuad seorang pelukis yang berumur 29 tahun dan berasal dari Kluang, Johor. 

Bagaimana boleh menceburi bidang seni? 
“Aku dahulunya dihantar ke Seremban untuk mengambil kursus Kujureteraan Aeronautik. Tapi, aku tidak gemar belajar selepas setahun di kolej tersebut. Aku lebih cenderung kepada bermain musik, lebih-lebih lagi ketika itu aku memang minat genre mathcore dan band-band seperti Devilica dan Blood On Wedding Dress. Tapi bila di dewan khuliah, aku sedar, yang ini bukan diri aku. Selepas itu aku beralih ke satu akademi yang menawarkan kursus penyiaran, tetapi tak berapa lama ianya ditutup! Jadi, aku mengkhabarkan berita itu kepada ibubapa dan aku pula dipersalahkan. Aku lantas mengambil keputusan untuk hidup sendiri, hidup seperti orang homeless.” Fauzan memberi mukadimah tentang perjalanan hidupnya. 

Dari bangku persekolahan lagi, beliau telah mendekati dunia papan luncur (walaupun terpaksa bermain seorang diri buat 2 tahun pertama) dan ianya menjadi sebahagian besar dari hidupnya. Dia juga merupakan pemain papan selaju yang ditaja oleh kedai Krookz dan ahli Vans Family. 

“Masa aku tiba di KL, aku memang tiada tempat bergantung. Kerana persahabatan melalui skateboarding lah, aku menemui ramai 'malaikat-malaikat' yang menolong aku semasa aku mula menetap di sini. Para skaters otai yang sering aku nampak di majalah kini menjadi teman skating aku, dan mereka amat mengambil berat tentang diri aku. Aku mula mendapat beberapa tajaan dan mula bekerja di sebuah kedai papan luncur. Aku benar-benar beruntung mendapat sokongan sebegini,” Fauzan mengimbas kembali saat awal di kotaraya ini. Keseronokan ini pudar sementara waktu kerana lutut Fauzan tercedera dan dia memutuskan untuk membeli sebuah basikal fixed gear. Katanya lagi, ketika dia khusyuk berkecimpung dengan dunia fixed gear, rangkaian teman-temannya lebih meluas dan pada masa yang sama, ianya telah menolong kecederaan di lutut Fauzan pulih, mungkin kerana pergerakan rotasi lutut bertindak sebagai rawatan fisio.
 
Ketika melawat Jakarta beberapa tahun lepas, Fauzan menemui kawan-kawan di sana yang kebanyakannya skaters, dan walaupun dia tak seaktif dahulu; dia kagum melihat semangat anak-anak muda Jakarta yang tak langsung goyah walaupun mengalami kecederaan. “Aku tengok seorang budak lutut dah tercabut, tapi masih berani membuat trick-trick besar. Dan mereka ini bukannya hendak menjadi atlet profesional, mereka hanya ada semangat yang kuat. Mereka lahir dengan semangat ini. Aku merenung kenapa badan aku semanja begini, mudah alah kepada kecederaan ringan walhal skaters di Jakarta lasak dan ligat walaupun sakit,” Fauzan berkongsi apa yang menginspirasinya menjadi aktif kembali berpapan luncur.

Dari situ, Fauzan mula beralih menjadi jurufoto setelah menjual basikalnya dan memperolehi sebuah kamera DSLR. Minatnya ini membuka peluang untuk menjadi jurufoto beberapa jenama yang salah satunya Converse. Rangkaian teman-teman beliau lebih berkembang dan dari tiitk ini dia berkenalan dengan Donald Abraham, seorang pelukis kelahiran Sabah yang sedang menempa nama di arena seni buat masa itu. Ujar Donald “Eh, lukis lah,” secara santai dan Fauzan mula membuat hasil kerja pertamanya dengan kaedah kolaj di studio kepunyaan Donald. Fauzan juga pernah berguru dengan Yusof Gajah, yang amat terkenal antara penggemar seni tanahair.

Bila bertanya adakah kerjaya sebegini direstui ibubapanya, dijawabnya sudah tentu tidak pada awalnya, namun Fauzan tidak pernah menyalahi mereka. Pada era 90an dan awal 2000, tangapan seniman sebagai profesyen yang kukuh amat disangkal kerana pemikiran masyarakat zaman itu sudah dibentuk dengan kerja-kerja yang konvensional seperti jurutera, doktor atau peguam yang menjanjikan kejayaan. 

I’m a rebel child, dan aku bukan cakap begitu semata-mata kerana aku memahami diri aku sendiri. Tapi ibubapa aku pun kata sebegitu,” akui Fauzan dengan gelak kecil. Walaupun tidak diterima masuk ke aliran seni dan dipaksa mengambil aliran sains, Fauzan tetap menghadiri kelas-kelas asas seni atas usahanya sendiri. Minatnya terhadap seni visual sudah terlahir pada masa ini, tapi hatinya belum terdetik untuk menjadi seorang seniman. Mungkin, masa adalah penentu segalanya. 

Dia mengimbas kembali semasa dia tinggal di Sri Muda, Seksyen 23, Shah Alam. “It was a very ghetto area, dan banyak jenayah berlaku di sana. Ada anjing cuba gigit kereta kawan aku!”, dia menerangkan suasana di tempat tinggal lamanya. Di sana dia menjalin persahabatan dengan apa yang kita kenali sebagai 'mat rempit' dan mereka amat menghargai persahabatan, mengikut kata Fauzan. "Kawan jenis beginilah yang akan tolong kau waktu kau susah, persahabatan mereka amat akrab,” terangnya lagi. Walaupun kawan-kawan barunya tidak digemari oleh para skaters, dan ada pula yang memarahinya; Fauzan sedar yang kemarahan itu hanya timbul dari ketidakfahaman. Ujarnya lagi, kerana inilah beliau sering marah pada waktu membesar, kerana sifat tidak faham ini membenak di otaknya. 

Fauzan baru sahaja mendirikan rumahtangga dan kini dia memandang dunia dengan perspektif yang lebih meluas; meluas dalam konteks yang dikaitkan dengan pemahaman dan juga kesedaran seseorang.

Apakah hari yang ideal? 
Everything is perfect to me,” beliau berkata sambil tersenyum. Dia bercerita tentang konsep hidup dan mati, dan dirinya dahulu sudah ‘mati’. Mungkin jawapan dia sekarang berbeza dari dirinya dahulu, tetapi dia hargai perubahan pandangan ini.

“Bila kau tidur, (ia bagaikan) kau dah mati. Jadi, besoknya kau bangun dan kau 'lahir kembali'. Jadi, adakah kau nak mulakan hidup baru kau dengan kemarahan, negativity dan bad vibes? Atau, kau nak jadi happy? " terang Fauzan tentang prinsip kesedaran atau consciousness dalam mengendali hidup sendiri. “Aku sedar dahulu yang aku sering salahkan itu dan ini, padahal aku hanya marah kepada diri sendiri. Aku memberi reaksi sebegitu kerana aku yang menyebabkan sesuatu masalah. Dan bila difikirkan, masalah kita sebenarnya hanya sebesar debu dalam alam semesta ini. Jadi, aku cuba selesaikan masalah dari dalaman, dan kini kalau ada cabaran, takde hal doe. Lalu je ah,” gelak Fauzan selepas menjelaskan yang sesuatu masalah itu bukannya masalah, tetapi cabaran untuk menjadi seseorang yang lebih baik. 

Mungkin ramai yang tidak faham konsep ini tetapi Fauzan berpegang kepada konsep proses menjadi bahagia, dan semuanya datang berpasangan. Gembira dan sedih, Adam dan Hawa, bumi dan langit, walau masalah dan penyelesaian sekalipun. Dan dia tidak salahkan mereka yang tidak faham, kerana pencarian diri tergantung kepada kesedaran sendiri dan semua tidak sama perjalanan hidupnya.
    
Life is simple. Kau berfikir, kau marah, kerana kau banyak pakai otak. Pros and cons, konflik, tapi tidak bila kau pakai benda ni”, sambil menunding jari ke bahagian hatinya. "Itu naluri kau, ianya satu rahmat. Sifat tak berani beberapa orang yang menghalang mereka sendiri merasa tertekan, dan sering tidak mencari individualiti dalam diri sendiri", katanya lagi.

Pendapat kenapa hasil seni anak Malaysia sering dihargai di luar negara sebelum menempa nama di tanahair sendiri? 
Bagi Fauzan, Malaysia dianggap negara pertantaraan, dan ianya dapat dilihat di lanskap sekeliling kita. Dan kerana itu mungkin kita selalu terlepas pandang bakat- bakat tersendiri. Bukan dari segi seni sahaja, sebab kita lupa yang budaya kita berbeza dan kita seharusnya mengkaji sesuatu itu sebelum menagmbil sesuatu itu. “Kaji itu bukan sekadar baca buku. Kau harus sedar niat kau untuk mengkaji, dan kau tanya serta memulakan perbualan tentang subjek kajian kau; ini maknanya kau menghidupi kajian kau itu. Dan kalau kau baca buku, cuba bandingkan pelbagai versi sesuatu buku. Itu mengkaji bagi aku", Fauzan bercakap mengenai sistem kajian dirinya sebagai seorang pelukis. Dia juga bertegas ini hanyalah apa yang dipegangnya dan kaedah orang lain pastinya berlainan. Keberjayaan juga tanggungjawab seseorang seniman itu sendiri, dan mungkin kerana ini kita tidak boleh mengambil sesuatu dari Barat sebulat-bulatnya, tetapi amat penting untuk kita sedar dan hargai budaya Asia kita dan ambil apa yang perlu. Semestinya ianya satu proses yang susah, tetapi semua orang sedang bergelut dengan kehidupan masing-masing. “Kau cakap aku dah banyak letak usaha dalam hasil karya ini tapi tak terjual. Aku sedang struggle ni. Semua orang struggle, kau ingat orang-orang kaya tak struggle? Semua sama saja ”, cakapnya mengenai cabaran menjadi seorang seniman. 
 
Para pengunjung malam pembukaan pameran Jalan:Street Speak International Vol 1.0

Adakah kau melabelkan diri sebagai seniman ushawan atau artpreneur? 
“Bagi aku, aku tak nak duit pun. It’s not about money. Jangan kata aku sombong pula, semua orang perlukan duit. Karya seni itu adalah satu benda yang tak ternilai, bukan tak bernilai; macamana kau boleh letakkan harga pada sesuatu, betul? Tapi ia kembali kepada seniman itu tersendiri, bagaimana proses seseorang itu membuat hasil karyanya dan membuat penonton menghargainya serta memahami mesej yang cuba disampaikan. Tapi bagi seniman itu sendiri, memang tiada nilai yang boleh diletakkan. Dan realitinya, hidup sebagai seniman ni tak kaya pun. Yang kaya mungkin pengurusnya atau tuan punya galeri, tapi seniman itu hanya perlu tampung gaya hidupnya yang sedia ada. Kalau gaya hidupnya perlukan RM1,000 sehari, ia perlu cukup menampung kehidupan RM1,000 sehari. Kalau gaya hidup aku, aku tak perlukan duit sangat, jadi aku hanya teruskan sebegitu. Kerap orang beranggapan yang seniman ini mewah, tapi sebenarnya tidak. Mengenai menjadi artpreneur, itu lain dari arah aku. Bagi aku, buat je. Tapi bagi aku benda tu tak salah pun, sebab salah dan betul pun amat subjektif, terletak pada cara individu itu. Terpulang pada apa hala tuju seseorang seniman itu. I just want to continue living, tapi sentiasa ada kesedaran dan konsisten sebagai seorang seniman.”

Orang juga sering cakap bila melihat lukisan-lukisan 'cincai' dan berkata yang mereka juga boleh membikin lukisan sebegitu. Fauzan mencabar mereka yang berkata sedemikian membuat lukisan yang sama, pasti tidak serupa dengan hasil kerja asal kerana mereka lupa yang mereka tidak melalui proses penghasilan karya itu sepertimana pencipta asalnya. Hasil kerja itu bukan di kanvas semata-mata tapi keseluruhan pengalaman dalam melahirkan idea dan produk akhir sesebuah seniman itu. 

“Amat penting untuk seseorang artiste untuk keluar dari comfort zone mereka. Mungkin ini yang kurang dari orang kita, mereka masih belum bersedia berbuat demikian. Itu syarat pertama menjadi seorang seniman, itu apa yang aku belajar dari pengalaman aku sendiri.” sambung Fauzan. 

Inspirasi dan subjek untuk pameran ini? 
“Judul pameran ini adalah ‘Jalan’, yang merupakan salah satu pameran dalam siri International Street Speak. Dan aku yang usulkan nama pameran ini dan aku juga telah membuat muka depan brochure katalog pameran ini. Aku rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Patrice Valette, yang merupakan tuan punya galeri ini. Asalnya aku mengusulkan ‘Nama Jalan’ kerana di mana saja kau pergi pasti jalan itu bernama. Dan apa seorang street artist akan buat di situ? Dia akan membuat tag grafitti nama samaran mereka supaya orang mengenali hasil kerjanya bila dilalui. Jadi untuk hasil kerja aku, aku berbasikal setiap hari dan mengutip benda terbuang di Subang. Aku sedar yang banyak tampalan seperti khidmat Ah Long, atau yang bercetak Loans For Muslims Only; aku sedar yang ini merupakan satu kolaj budaya dan agama. Jadi aku ambil tampalan itu dan membuatnya sebagai latar belakang lukisan aku, ada yang aku cat sampai tak nampak, ada yang masih kelihatan. Berbalik kepada apa yang aku bicarakan tadi, penghasilan karya itu hanya penciptanya yang tahu kerana proses yang dilaluinya. 

“Aku rasa orang dapat mesej yang aku cuba sampaikan, dan sekiranya mereka tak kurang jelas, mereka boleh bertanya kepada aku. Takkan tiba-tiba aku nak bercerita, kan? Kalau mereka nak tahu, pasti mereka akan bertanya”, tambah Fauzan bila ditanya persepsi orang terhadap 2 lukisannya di pameran itu. 

Nasihat buat merka yang nak memilih kerjaya sebagai seniman? 
Simple je, benda ni berulang-ulang dari dahulu, just be yourself. Tapi orang tak faham dengan kata-kata itu. Adakah kau nak tergolong dalam kategori arus perdana supaya diterima orang lain? Sememangnya, tidak. Jika lihat sejarah, kalau semua orang mengikuti satu jenis pemikiran; bagaimana boleh terlahir ikon seperti Che Guevara? Bagaimana terlahirnya sebuah kerajaan? Bagaimana orang boleh membuat satu genre musik yang baharu? Jadi, itulah yang aku maksudkan dengan just be yourself,” terang beliau. 
                 
Ucapan dari Patrice Vallette, pemilik galeri pada malam pembukaan pameran Jalan:Street Speak International Vol 1.0

Dia menambah, “Aku lebih berminat berbicara dengan kanak-kanak, kerana minda mereka suci dan mereka tidak ada benda yang mengalihkan pemikiran mereka dari kebenaran. Kanak-kanak sering bercakap kebenaran, tapi dalam cara mereka tersendiri. Anak-anak kecil sering bertanya, tapi ianya bukan soalan, tapi realiti. Mereka amat comel dan bila kau lihat orang-orang tua, mereka juga berkelakuan comel. Jadi dalam pandangan itu, itulah kaitan kau akan kembali kepada sifat asal kau. Aku cepat berubah gaya seni aku, mungkin kerana sifat aku yang menerima segala jenis musik. Jadi aku berubah dari satu jenis kepada yang lain amat cepat. Dari potret, surrealisme, still life, dan kini aku meneroka seni abstrak. Tapi semua hasil kerja aku, ada gaya aku. Itu harus ada dalam setiap seniman, yang seniman itu harus ada gaya atau style nya yang tersendiri. Bukan sahaja di lukisan yang dipamerkan, tapi juga kepada komunikasi. Bagaimana aku berbicara dengan orang bertanya mengenai hasil kerja aku, itu juga dalam gaya aku tersendiri. Dan siapa yang menentukan gaya unik benar hadir dalam karya seni itu? Penonton. Dan bila tiada style individu seseorang seniman itu, ‘rasa’ itu hilang dalam menilai seseorang seniman itu bagus atau tidak. Zaman sekarang orang tengok artwork melalui Facebook dan Instagram, seharusnya hasil seni itu dihargai secara fizikal, dan di situ pentingnya gaya kau berkomunikasi pula. Kalau di negara Barat, masyarakat mereka didedahkan dengan melawat galeri seni pada usia kanak-kanak. Pemahaman seni mereka sudah ditahap yang tinggi apabila mereka melangkah alam dewasa. Kalau lihat di sini pula, kita kurang penghargaan seni dari masyarakat kita sendiri. Ini bukan untuk kepentingan seniman-seniman, tapi kebaikan mereka juga dalam meluaskan pemikiran mereka”, Fauzan berpesan lalu mengakhiri sesi Sembang Petang kali ini dengan menyalakan rokok Golden Virgina Tobacco hasil gulungan tangannya sendiri yang berkali-kali mati.

Tiba masa untuk beliau menikmati tembakau diimpot itu dan mungkin juga sudah tiba masa anda untuk menghurai mesej lukisan-lukisan di pameran Jalan: Street Speak International Vol 1.0 menampilkan seniman jalanan tempatan dan antarabangsa seperti Donald Abraham, Orkibal, Faben dan beberapa lagi di Vallette Gallery

Foto oleh Azza Yusof dan foto acara pembukaan pameran ihsan Vallette Gallery. 

off the beat

Remembering A Cultural Icon

TUE, 15 AUG 2017

The life of the first Sabah Cultural Icon, Tina Rimmer is celebrated with a three-month long retrospective exhibition at Sabah Art Ga...

off the beat

One Step at a Time

TUE, 02 MAY 2017

A chartered accountant on weekdays, Sheela Raghavan Tan dedicates her weekends teaching underprivileged children the art of Bharatana...

off the beat

The Sister Lim

MON, 03 APR 2017

Get to know local children’s book illustrator Lim Lay Koon, whose distinctly Malaysian stories serve to educate young readers. ...

off the beat

Women in Art

WED, 08 MAR 2017

In conjunction with International Women’s Day, we present a list of Malaysian female artists (both the emerging and the veteran...