Catur Chow Kit

05 May 2017

Langkah diatur bukan sembarang, ikuti persaingan pencatur jalanan Kuala Lumpur yang sengit.

Hingar bingar kesibukan kota, yang berselang seli dengan laluan motosikal bingit serta pekikan hon tidak menjejaskan tumpuan dua susuk tubuh yang duduk bertentangan, sambil dikerumuni pemerhati yang bersilih ganti. Di sepanjang laluan koridor bangunan kosong di Jalan Tuanku Rahman, atau di kawasan yang lebih dikenali sebagai Chow Kit, pemain-pemain catur jalanan membentuk beberapa kelompok yang bermula pada waktu petang dan berlarutan sehingga lewat malam.


“Saya dahulu yang mulakan” kata Pak Janggut, salah seorang ahli vetaran yang telah mula bermain catur di kawasan tersebut semenjak dekad 80-an lagi. Dikenali umum sebagai wajah yang menghiasi tembok monorel yang dicorakkan dengan gambar lama di kawasan kota yang istimewa itu, beliau berkata bahawa bercatur merupakan caranya menghabiskan waktu sementara menunggu pelanggan membelek dagangannya.

“Sekarang saya sudah tidak boleh lawan. Sudah kuat-kuat semua. Macam yang main sekarang ini, semuanya 'lauk' saya dulu”, katanya berseloroh, sambil mengheret asap rokok keretek yang tidak lekang dari bibirnya.


“Semakin lama, semakin ramai orang luar yang terdengar mengenai (aktiviti) catur di sini dan datang untuk main”, kata Pak Ali, peniaga sambilan yang berusia 50-an. Terdapat pasang surut bilangan orang yang bermain tetapi komposisi pemain adalah “50-50”, setengah terdiri daripada komuniti Chow Kit sendiri manakala separuhnya lagi terdiri daripada orang luar. “Banyak yang datang daripada kelab catur untuk bertanding dengan pemain di sini. Ramai juga yang kalah,” tambahnya lagi.



Orang luar yang hadir berentap merupakan campuran individu daripada latar belakang pekerjaan serta umur yang beragam. Salah seorangnya adalah Encik Akmal Sealine, seorang penjawat awam berketurunan Melanau yang baru bergelar pesara. Beliau yang berkunjung selepas waktu kerjanya semenjak setahun yang lalu berkata, “I came here because I heard that there are many good players here”. Menyimpan hasrat untuk memperbaiki permainannya, beliau yang sebelum ini berpangkalan di sebuah kelab catur rasmi kini bertemu dengan jaguh-jaguh catur jalanan Chow Kit memberitahu, “I cannot even win some of them if they give me two pawns, or even a knight”.





Suasana komuniti catur di Chow Kit yang bertandang saban hari boleh diumpamakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling mengenali serta mendokong satu sama lain. “I feel pity seeing some of them homeless and have to sleep by the street”, kata Encik Akmal yang sering melihat gelandangan tidur beralaskan tilam kadbod pada laluan yang sama dengan markas catur mereka itu.



Bukan sahaja sebagai aktiviti penajam minda, komuniti catur di Chow Kit ini juga mendakwa bahawa kehadiran mereka telah mengurangkan kekacauan di sekitar kawasan kota itu, berperanan seperti rukun tetangga yang menjadi mata dan telinga masyarakat di sana. Sesetengah daripada gelandangan di kawasan tersebut juga telah memperbaiki hidup mereka apabila telah mendapat pekerjaan tetap, tetapi masih tetap kembali saban hari untuk bermain catur.

Text by Yuen Kok Leong
Photos by Teoh Eng Hooi

This article is related to OFF THE BEAT

off the beat

Staying in Tune

THU, 12 OCT 2017

Radio in Malaysia has a long history dating back as early as 1921. Once seen as a valuable medium to disseminate important informatio...

off the beat

Scenes from Bentong Town

FRI, 06 OCT 2017

From a sleepy village to a thriving commercial and tourism centre, Bentong, Pahang has stood the test of time and is now seeing a rev...

off the beat

Making Malaysia Truly Proud

MON, 02 OCT 2017

With a couple thousands songs under his belt, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab has helped build a reputation for Malaysian popular music, at...