Dunia Kewartawanan Ian Yee

31 July 2017

Di sebalik kejayaan dokumentari Predator in My Phone, wartawan Ian Yee cuma ingin menyampaikan berita yang penting, tulen dan ikhlas.

Nama Ian Yee sememangnya kian dikenali ramai dalam dunia kewartawanan. Ian ialah penyunting dan penerbit eksekutif di R.AGE, sebuah platform belia di bawah Star Media Group yang telah memenangi beberapa anugerah berprestij sejak penubuhannya, termasuklah World Young Reader Prize Award dan Asian Media Awards yang dirangkul pada tahun 2016 dan 2017.

Selain dari mengeluarkan cerita, berita dan video tentang masyarakat tempatan, wartawan-wartawan muda R.AGE yang dipimpin oleh Ian, juga menjalankan projek dan kempen yang bertujuan untuk membawa perubahan kepada masyarakat tempatan. Salah satu daripada projek ini termasuklah dokumentari Predator in My Phone, yang telah mendedahkan taktik-taktik kotor pemangsa seksual kanak-kanak yang dilakukan melalui aplikasi sosial seperti Facebook, Whatsapp dan WeChat.

Dokumentari ini bukan sahaja sekadar memberi penerangan kepada rakyat dan ibu bapa tentang hal ini, namun penularannya di laman-laman sosial telah membangkitkan kesedaran umum tentang kepentingan undang-undang dalam membasmi jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Justeru itu, Ian dan wartawan-wartawan R.AGE yang lain telah bekerja keras demi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk membentangkan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak di Parlimen. RUU tersebut telahpun dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada bulan Mac tahun ini dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Negara pada 26 April 2017.

Menurut Ian, dia dan wartawan-wartawan R.AGE lain telah menyedari bahawa projek ini akan mendapat perhatian ramai. Namun begitu, mereka sama sekali tidak menjangka bahawa Datuk Seri Azalina akan merangka undang-undang yang meliputi semua kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, dan bukan sahaja terhad kepada sexual grooming (persediaan seksual) yang merupakan taktik utama yang didedahkan melalui dokumentari Predator in My Phone. Tambah Ian, kejayaan ini merupakan sesuatu yang sangat membanggakan kerana mereka bukan sahaja memberi kesedaran kepada rakyat, tetapi juga dapat membantu memainkan peranan untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah ini.

Meskipun Ian telah berjaya merangkul anugerah-anugerah berprestij bersama pasukannya, beliau tidak lupa yang perjalanannya dalam dunia kewartawanan tidak bermula dengan mudah. Menurutnya, dia hampir berputus asa beberapa kali kerana tertekan dengan tuntutan kerja. Namun, Ian tetap melalui segala rintangan dengan tabah kerana beliau percaya bidang ini mampu membawa perubahan positif.

Katanya lagi, beliau lebih bersemangat dalam kewartawanan sekarang berbanding sembilan tahun yang lalu, lebih-lebih lagi setelah melalui pelbagai pancaroba dalam bidang ini. Menurutnya, “Wartawan tidak sepatutnya leka atau berpuas hati dengan kerja masing-masing. Bidang ini tidak sepatutnya menjadi mudah. Setiap wartawan perlu sentiasa teliti dan perlu terus mencari sudut yang berbeza kepada sesuatu cerita, lebih-lebih lagi dalam dunia digital ini.”

Bagi beliau, antara rintangan terbesar yang perlu dihadapi wartawan bukan sahaja isu kebebasan media, malahan juga persepsi orang ramai tentang berita yang biasanya disampaikan. “Seringkali kita mendengar orang ramai mengeluh dan bertanya how is this even news? Macam mana ini boleh menjadi berita? Namun, jarang sekali kita melihat kenyataan positif seperti ‘well done’ di ruang-ruang komen berita tempatan dan inilah realiti masyarakat masa kini. Mereka terlalu cepat untuk menghukum sesebuah cerita tanpa penilaian dan pemahaman yang betul terhadap para wartawan yang tulus dalam menjalankan tugas,” jelas Ian.

Meskipun sukar, Ian memikul tanggungjawab untuk mengubah pendapat masyarakat tentang bidang kewartananan di negara ini. Kata beliau, “Terdapat ratusan wartawan yang jujur, berdedikasi dan bertanggungjawab di Malaysia, dan mereka pastinya melalui rintangan yang sama demi menegakkan kebenaran. Namun begitu, masih ramai yang tidak memahami tugas dan tanggungjawab mereka.”

Bila ditanyakan tentang bidang kewartawanan penyiasatan (investigative journalism) di Malaysia, Ian mengaku bahawa kian ramai rakyat tempatan yang mula menghargai bidang ini. Meskipun banyak media tempatan yang masih bergantung kepada berita-berita yang viral, Ian serta wartawan lain dari R.AGE telah membuat keputusan yang betul untuk fokus kepada berita yang benar; berita yang diselidik, dikaji, disampaikan dan diterbitkan oleh R.AGE sendiri. Ini adalah salah satu faktor yang membezakan R.AGE dari portal berita yang lain – mereka percaya bahawa generasi muda inginkan lebih dari berita yang sering dipaparkan, namun terlalu banyak media yang hanya mementingkan keuntungan dari kebenaran dan isi kandungan sesebuah berita.

“Atas dasar itulah kami di R.AGE mengambil keputusan untuk melancarkan projek Predator in My Phone. Dan saya sangat bangga dan bersyukur kerana generasi muda ini telah membuktikan bahawa mereka lebih terbuka untuk menghayati berita yang benar, tulen dan ikhlas.”

Meskipun banyak cabaran yang harus dilalui, niat dan kepercayaan terhadap bidang kewartawanan sangat penting dan menjadi teras utama yang membakar semangat Ian untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang wartawan di Malaysia. Sebagai nasihat kepada bakal-bakal wartawan di luar sana, Ian menegaskan bahawa semua usaha dan kerja keras bakal membuahkan hasil jika kita terus berjuang atas sebab-sebab yang betul dan niat yang ikhlas.

Oleh Dhabitah Zainal

This article is related to OFF THE BEAT

off the beat

Playing for Change

THU, 07 DEC 2017

In Sarawak, a group of young Penan villagers are playing competitive football to change the future of their community. Every Sund...

off the beat

Delta Days

WED, 06 DEC 2017

Pulau Pantai Suri, an island off the shore of Kelantan, is home to families who have lived on the water for generations. At the n...