Merungkai Sejarah Dengan Arkeologi

20 January 2017

Negara kita penuh dengan tinggalan sejarah zaman lampau, mari sulami kisah tentang arkeologi bersama dengan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia.

Arkeologi merupakan satu bidang yang dapat memberi bukti saintifik tentang zaman lampau dan sangat penting dalam membentuk identiti serta sejarah masyarakat kita. Arkeologi dan sejarah memberikan kita pengertian tentang keadaan manusia itu sendiri dari segi kewujudannya, teknologi, adat, budaya, bahasa, pemikiran dan lain-lain lagi.

Di Malaysia, jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia kajian dan aktiviti arkeologi ialah Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Kajian arkeologi di Semenanjung Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Dalam masa yang sama, kajian-kajian arkeologi pada masa kini banyak dijalankan oleh pihak universiti, seperti Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Menurut pensyarah PPAG Dr. Goh Hsiao Mei, fokus utama PPAG adalah menjalankan penyelidikan arkeologi. Selain itu, pusat ini juga turut menawarkan pembelajaran arkeologi untuk pelajar pasca-siswazah serta khidmat konsultasi makmal.

Peranan Dr. Goh Hsiao Mei di PPAG melibatkan pembangunan bidang pengurusan warisan arkeologi serta membangunkan jaringan masyarakat dan industri dengan bidang arkeologi.  

Antara sumbangan terbesar PPAG kepada dunia arkeologi adalah penemuan rangka tertua yang paling lengkap di Asia Tenggara iaitu Perak Man di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak; bukti perdagangan pada zaman Neolitik di Bukit Tengkorak, Sabah; penemuan kapak genggam yang berusia 1.83 juta tahun di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak; bukti ketamadunan tertua di Asia Tenggara di tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah dan banyak lagi.

Shaiful Idzwan Shahidan merupakan sebahagian dari kumpulan penyelidik di Bukit Bunuh, Lembah Lenggong, Perak dan Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah.

Menurut Shaiful Idzwan Shahidan, Fellow Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) di PPAG, tapak Bukit Bunuh, Lembah Lenggong ini merupakan sebuah tapak dengan bukti batuan suevit yang terhasil daripada impak meteorit, yang telah berlaku sekitar 1.83 juta tahun dahulu.

Permandangan keselurahan di Bukit Bunuh dan sekitarnya.

“Apa yang mengejutkan kami ialah jumpaan kapak genggam yang melekat pada batuan suevit. Ia telah dipertarikhkan secara saintifik kepada 1.83 juta tahun dahulu. Impak meteorit tersebut mungkin mengakibatkan manusia pada waktu itu pupus atau berpindah ke tempat lain,” kata beliau.

Kapak genggam dalam batuan suevit ihsan Jabatan Warisan Negara.

Kapak genggam ialah sejenis alat batu tidak boleh terbentuk dengan sendiri oleh fenomena alam, kerana bentuknya yang tajam dan bujur di hulu. Ianya perlu dihentak supaya dapat membentuk permukaan yang tajam. Kapak genggam dibuat bertujuan sebagai senjata untuk memburu atau mempertahakan diri. Penemuan kapak genggam ini membuktikan sudah ada manusia yang hidup di Malaysia sejak dari awal zaman Paleolitik lagi, jauh lebih tua dari data yang direkodkan sebelum ini.

Shaiful menambah, terdapat banyak jumpaan yang mengejutkan di Lembah Lenggong dan ini menjadikannya sebagai satu tempat tinggalan sejarah yang sangat penting dan penuh misteri kerana masih banyak sejarah yang belum dirungkai di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, atas sebab pentingnya kawasan ini,  Lembah Lenggong telah diangkat sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012.

Di utara Malaysia, terdapat sebuah lagi tapak arkeologi yang juga penting kepada dunia. Sungai Batu, Lembah Bujang terletak di Sungai Petani, Kedah.

“Sebelum bermulanya survei di sana, kami berhipotesis bahawa kedudukan tapak Sungai Batu yang berhampiran dengan Sungai Merbok ini berpotensi menjadi salah satu tapak yang mempunyai aktiviti perdagangan,” kata Shaiful.

Gambar diambil dari pandangan atas selepas ekskavasi selesai dijalankan, tapak ini menunjukkan struktur tapak jeti.


Kelihatan batu-bata yang menunjukkan struktur bangunan.

“Perbezaan tapak di Sungai Batu dan tapak-tapak lain di Lembah Bujang adalah ia memberikan kita bukti yang lebih jelas tentang ekonomi Kedah Tua melalui aktiviti perdagangan. Ini dapat dilihat dengan adanya relau yang bertarikh 535 sebelum Masihi yang digunakan untuk melebur besi, serta jumpaan tapak-tapak jeti di sepanjang Sungai Batu kuno bagi kapal-kapal dagang berhenti untuk tujuan perdagangan.”


Atap genting yang di jumpai di tapak Sungai Batu.

Tambah beliau, terdapat struktur dinding bangunan yang diperbuat daripada batu-bata dan juga atap genting yang digunakan sebagai bumbung. Ini menunjukkan bahawa teknologi pada waktu itu sangat maju, jika kita bandingkan dengan perkampungan nenek moyang kita yang masih menggunakan atap rumbia.

Mata pisau.


Serpihan tembikar.

Antara artifak lain yang dijumpai di tapak Sungai Batu adalah tembikar, sisa besi, tuyere, jongkong besi dan mata pisau.

Monumen ritual yang dijumpai di tapak Sungai Batu.

Selain itu, salah satu ikon menarik di sini ialah jumpaan monumen ritual yang tidak menyerupai ciri-ciri agama Buddha atau Hindu. Ia dipercayai lebih mirip kepada penyembahan animisme, iaitu penyembahan alam.

“Kita tahu bahawa di dalam buku teks sejarah, perdagangan lebih banyak berlaku di zaman pemerintahan Melaka. Penemuan ini telah mengubah persepsi bahawa aktiviti perdagangan telah wujud lebih awal lagi iaitu 535 sebelum Masihi, sekitar 2,000 tahun lebih awal dari Melaka,” kata Shaiful.

Dr. Goh menambah pula Arkeologi mempunyai kekuatan sebagai penjana kemajuan ekonomi dan sosial setempat, sekiranya diurus dengan baik dan mampan. “Majoriti masyarakat kita secara amnya sangat berminat dengan arkeologi dan sejarah. Maka wajarlah lebih banyak ruang dan peluang disediakan bagi mendedahkan masyarakat dengan ilmu arkeologi.”

Shaiful berkata jika kita lihat negara seperti Kemboja, salah satu tarikan kepada sektor pelancongan adalah Angkor Wat. Mereka mampu menjana ekonomi dengan arkeo-tourism dan statistik menunjukkan peningkatan ketara pelancong ke sana setiap tahun. Ini boleh dicontohi dengan mengangkat arkeologi Malaysia sebagai salah satu produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi kepada negara dan masyarakat setempat.

Jelas Dr. Goh: “Sebenarnya di Malaysia banyak produk yang dapat dibangunkan dengan arkeologi dari segi sektor pelancongan. Kami berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan yang lebih serta melabur untuk membangunkan tapak-tapak arkeologi kepada tahap yang lebih tinggi. Ini bertujuan untuk menarik minat perhatian pelancong untuk berkunjung dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi pelancongan dan juga dapat menerapkan kesedaran mengenai arkeologi di kalangan masyarakat.”

Oleh Hizwan Hamid
Foto ihsan Hizwan Hamid, Jabatan Warisan Negara dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global.

This article is related to ARKEOLOGI ARCHEOLOGY

off the beat

Ghost Town

TUE, 14 MAR 2017

Located in the Hulu Selangor district, Bukit Beruntung (which literally translates to “Profitable Hill”) is now an ironic...