Perjalanan Muzik Rendra Zawawi

05 September 2017

Ikuti kisah pemuzik tempatan yang kini menempah nama di Amerika Syarikat.

Nama Rendra Zawawi mungkin jarang disebut dalam media massa tempatan, namun pemuzik muda ini sebenarnya telah pun membawa bakat dan seni muziknya ke persada antarabangsa. Antara karyanya yang paling dikenali termasuklah Arena Cahaya, lagu tema filem Ola Bola nyanyian Zee Avi yang ditulis, diterbit dan disusun bersama-sama dengan sentuhan dari Alvin Wee. Lagu tersebut bukan sahaja mendapat perhatian di media sosial dan sering dimainkan di corong-corong radio, malah juga telah memenangi anugerah Lagu Tema Terbaik di Taipei Golden Horse Awards di Taiwan hujung tahun lepas.

Rendra membesar dengan pengaruh muzik yang kuat dalam keluarganya, dan menurut beliau, bapanya merupakan antara yang paling awal mempengaruhi minat dan semangat beliau dalam muzik. Kata Rendra, “Dia sering memainkan lagu-lagu Bob Dylan dan Leonard Cohen dalam caranya tersendiri di rumah, dan dari situlah saya bermula untuk bermain gitar dan berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang muzik.” Rendra yang pada awalnya dipengaruhi juga dengan sentuhan Jason Mraz, Jack Johnson dan Damien Rice kini telah memperluaskan spektrumnya setelah melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music, Amerika Syarikat, di mana muzik beliau kini banyak dipengaruhi oleh komposer filem seperti Ramin Djawadi, John Williams dan Hans Zimmer.

Perubahan ini mungkin juga berlaku kerana Rendra telah bertukar arah dari seorang penyanyi-penulis lagu kepada seorang yang lebih banyak bekerja di belakang tabir. Kata Rendra, beliau memang telah memutuskan untuk berhenti membuat persembahan (sebagai seorang penyanyi) tidak lama dahulu. Hal ini disebabkan beliau kini lebih selesa mengarang, menggubah dan menyusun lagu dari belakang komputer. “Ini bukan bermaksud saya tidak akan menyanyi sampai bila-bila,” kata Rendra. “Cuma buat masa ini, saya lebih selesa dan gembira bekerja disebalik tabir sebegini.”

Rendra kini merupakan pembantu kepada Mac Quayle, yang menggubah lagu dan skor muzik untuk siri televisyen, Mr. Robot. Tahun ini, Quayle juga telah menerima anugerah Emmy untuk gubahan skor muzik terbaik dalam siri televisyen.

Apabila ditanya tentang perbezaan pengalaman sebagai anak seni di Malaysia dan di Amerika Syarikat, Rendra berkata bahawa kedua-dua negara memberikan beliau pengalaman yang berbeza, lebih-lebih lagi kerana di Malaysia beliau lebih dikenali sebagai seorang penggubah lagu manakala di Amerika beliau lebih banyak terlibat dalam penerbitan muzik untuk siri televisyen dan filem.

Beliau juga ada terlibat dalam pembikinan lagu untuk drama/rancangan TV di Malaysia. Menurut Rendra, antara perkara yang tidak dapat beliau lupakan adalah ketika beliau menulis lagu tema untuk rancangan televisyen Raja Alawiah Idris, yang merupakan pengalaman pertama beliau menulis lagu untuk rancangan televisyen. Jelas Rendra, “Setelah selesai tugasan tersebut, saya masih ingat lagi macam mana saya rasa setelah mendapat chek bernilai RM2,500. Mungkin ia tak banyak, tetapi ia cukup buat seseorang yang ketika itu masih baru dalam industri ini. Saya juga ingat bagaimana saya hampir menangis kerana saya sedar yang peralihan kepada kerja di belakang tabir adalah berbaloi dan merupakan yang terbaik buat saya.”

Meskipun Rendra kini sedang menikmati kerjaya dan pencapaian yang sememangnya patut dibanggakan, beliau masih berharap untuk menggapai lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan dalam persada seni muzik. Bila ditanya tentang perancangan beliau dalam masa akan datang, Rendra berkata, “Saya berharap untuk menggubah lagu dan skor muzik untuk filem-filem Dain Said dan Tunku Mona, kerana mereka direktor filem yang hebat dengan visi yang unik.” Selain itu, beliau juga berharap untuk mendapat peluang berkolaborasi dengan band tempatan Pitahati. “Kalau di Amerika Syarikat,” tambah Rendra, “saya benar-benar ingin untuk menjadi komposer dalam mana-mana rancangan TV Ramin Djawadi, kerana saya benar-benar kagum dengan kerja beliau dalam Game of Thrones dan Westworld.”

Apabila diminta untuk memberi nasihat kepada pemuzik-pemuzik baru, Rendra berkata, “In order for you to be at the front lines, you must first watch from the backlines [untuk berada di hadapan, anda perlu bermula dengan memerhati dan belajar dari belakang].” Menurut Rendra, amalan ini dapat melatih pemuzik untuk mengenalpasti peluang yang patut dikejar. “Setelah itu, teruskan maju ke hadapan hingga anda sampai ke garisan belakang yang seterusnya, dan berhenti untuk belajar dan memperbaiki diri sebelum meneruskan lagi perjalanan.”

Meskipun di Malaysia atau Amerika Syarikat, perjalanan Rendra Zawawi dalam bidang muzik nampaknya akan dipenuhi dengan lebih banyak kejayaan.

Oleh Dhabitah Zainal


off the beat

Comic Retweet

WED, 20 SEP 2017

As print media shifts to digital, comic strips also follow suit. But what remains in a webcomic is the old formula of mixing satire w...

off the beat

Making History

MON, 18 SEP 2017

From as early as the 19th century, passionate historians around Malaya have made it their mission to collect and store important hist...

off the beat

Riuh in the City

FRI, 15 SEP 2017

Over the past decade, Malaysia has seen a rise in arts markets, events which typically showcase the country’s independent maker...