Zero Waste Malaysia

03 August 2018

Visi yang gah boleh bermula daripada langkah yang kecil, seperti yang dibuktikan oleh Aurora Tin yang menjadikan kesedaran peribadi kepada satu pergerakan media sosial dengan objektif untuk melihat Malaysia tanpa sampah.

Apa yang bermula sebagai amalan di rumah menjadi satu projek besar yang menarik minat orang ramai. Aurora Tin merupakan seorang penulis yang juga merupakan pengamal kehidupan tanpa sampah sejak tiga tahun lalu. Beliau juga telah menubuhkan Zero Waste Malaysia untuk mempromosi dan mendidik satu generasi baru untuk menjaga kelestarian alam sekitar dengan memupuk tabiat mengurangkan penghasilan sampah setiap individu.

Mendapat inspirasi daripada Bea Johnson, seorang personaliti terkemuka dalam pengurangan bahan buangan, Aurora pada mulanya menjalankan aktiviti untuk mengurangkan sampah bersama suaminya di rumah. Contohnya, dia akan sedaya upaya tidak membeli barangan yang baru, menggunakan semula air yang digunakan untuk mandi, dan akan membeli barangan yang dipek secara minima.

Aurora Tin

Ketika keluar untuk membeli-belah, Aurora juga memberi keutamaan kepada barangan yang boleh digunakan semula untuk jangka masa panjang seperti pencukur yang diperbuat daripada besi dan bukan plastik yang dipakai buang. Lima prinsip yang menjadi pegangan Aurora dalam menjalani gaya hidup tanpa sampah amatlah mudah untuk diikuti, ianya ialah: menolak pembelian barang baru, mengurangkan penggunaan, menggunakan semula, kitar semula, dan biar reput.

Semua sampah yang dihasilkan Aurora sejak dua tahun lalu boleh dimuatkan di dalam satu balang kaca 250ml, satu jumlah yang amat kecil kerana secara purata, seorang penduduk di negara ini akan menghasilkan beratus-ratus kilogram sampah setiap tahun.

Selepas beberapa bulan, dia merasakan bahawa ianya sesuatu yang realistik untuk menjalankan hidup dengan meminimakan sampah di dalam skala yang lebih besar. Aurora menggunakan media sosial untuk mengumpulkan orang lain dengan visi yang serupa. Dari situ terlahirlah Zero Waste Malaysia.

Balang kaca yang berisi semua bahan buangan Aurora sejak Januari 2016

Kempen pertama Aurora ialah Zero Waste Night Market (Pasar Malam Tanpa Sampah) di mana Aurora dan beberapa rakan lain memulakan langkah kecil tapi bermakna dengan menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri dan beg untuk membawa barangan keperluan yang dibeli di pasar malam. Mereka akan berjalan bersama dan mendekati pengunjung dan peniaga pasar malam, secara tidak langsung mempromosikan gaya hidup mereka.

“Bila kami berjumpa dengan peniaga pasar malam, mereka tertarik dengan program kami dan mengatakan bahawa ini satu inisiatif yang baik dan semua rakyat Malaysia patut mencontohi apa yang kami lakukan” tambahnya.

Dengan sokongan kuat di alam maya dan di dalam komuniti Aurora di Petaling Jaya, mereka juga telah menganjurkan Zero Waste Fest, atau Pesta Tanpa Sampah di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2017. Pesta itu mengetengahkan pameran, sesi bual bicara, dan pasar barang-barangan mesra alam daripada dalam dan luar negara.

Di pesta itu juga mereka melancarkan satu peta di laman web mereka di mana semua orang boleh mencari perniagaan di sekitar Lembah Klang yang menyumbang kepada usaha Malaysia tanpa sampah. Antara perniagaan yang menarik di dalam peta tersebut ialah kedai yang menyediakan isian semula cecair pencuci baju pada harga yang murah, sebuah perusahaan tuala wanita yang diperbuat daripada kain yang boleh dicuci dan dipakai semula, sabun dan ubat gigi organik buatan sendiri, restoran yang menggalakkan pelanggan membawa bekas makanan sendiri dan kedai menjual barangan terpakai. 

Matlamat Aurora menganjurkan semua program ini amat mudah: “Kami mahu tunjukkan jalan yang mudah untuk rakyat Malaysia turut serta menjadikan Malaysia negara tanpa sampah. Di Malaysia kita sudah ada kemahuan dan kami mahu tunjukkan contoh yang baik dan menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Antara barangan harian Aurora yang meminimakan penghasilan sampah: tuala wanita yang diperbuat daripada kain, berus gigi buluh, straw besi dan buluh, ubat gigi organik buatan tempatan, dan flos gigi sutera

Perancangan jangka masa panjang Zero Waste Malaysia ialah menyusun panduan untuk semua yang berminat menjalankan aktiviti tanpa sampah di mana sahaja mereka berada di seluruh negara. Maklumat di dalam panduan ini boleh disesuaikan untuk sekolah, pejabat, dan pada skala yang lebih besar. Panduan ini akan disediakan secara percuma untuk di muat turun di laman web mereka.

“Sebenarnya, tidak mustahil untuk laksanakan Malaysia tanpa sampah kerana apabila kami pergi ke kedai-kedai makan, agak senang untuk kami meminta mereka isikan makanan kami dalam bekas yang kami bawa sendiri. Saya sendiri temui ramai peniaga yang menyokong inisiatif bebas beg plastik kerana mereka sedar betapa banyaknya sampah dihasilkan setiap hari,” tegas Aurora.

Menurut Aurora, rakyat Malaysia memahami kepentingan untuk menjaga alam sekitar namun kekurangan maklumat dan jalan untuk mereka menyumbang menjadi kekangan. Rakyat Malaysia juga mahu keberkesanan kadar kitar semula di negara ini ditingkatkan dengan memperkenalkan teknologi dan mesin untuk memproses bahan buangan yang lebih kompleks.

Tambahan pula, Aurora menekankan bahawa penjagaan alam sekitar melalui pengurangan hasil buangan merupakan satu perjalanan yang berterusan sepanjang hayat. Dia masih lagi mencari jalan untuk menjalani hidup tanpa sampah yang lebih efisyen dan menggalakkan orang ramai untuk terus mencari jalan mengurangkan hasil buangan mereka.

Mereka tidak perlu mengubah hidup mereka secara drastik dengan sekelip mata – apa yang penting ialah kesanggupan untuk menjadikan bumi tempat tinggal yang lebih bersih dan bebas sampah untuk semua yang berkongsi ruang di atasnya.

Untuk mengikuti perkembangan Zero Waste Malaysia serta mengetahui lebih lanjut tentang program dan aktiviti mereka, mereka boleh dihubungi terus melalui laman Facebook mereka.

Oleh Abdul Qayyum Jumadi

This article is related to OFF THE BEAT ZERO WASTE MALAYSIA RECYCLING

off the beat

The Cikgu Life

MON, 13 AUG 2018

A group of former teachers turn work into play with a new table-top game. Popular games are often built on lofty ambitions. Become...